Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
TIOMAN, 29 JUN 2021: Yang Dipertua Dewan Negeri, YB. Dato’ Sri Hj Ishak Muhamad akan menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mendapat perkenan tarikh Persidangan Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Pahang masih menunggu perkenan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang.

“Kita masih menunggu perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang dan saya telah minta YB Speaker Dewan untuk menghadap Tuanku untuk mendapat perkenan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di PPV Marina, Kampung Tekek, dan PPV Kampung Genting, di sini, hari ini.
Beliau berkata, Kerajaan Pahang meminta Persidangan Dewan Negeri (DN) Pahang dijalankan selepas 1 Ogos iaitu selepas tempoh darurat tamat.
“Tetapi mesti selepas 1 Ogos bukan dalam tempoh darurat. Kita minta selepas 1 Ogos. Apa pun kita rujuk kepada peraturan perlembagaan enakmen apa semua dan kita akan ikut semua itu,” katanya.
Tambah beliau lagi, Kerajaan Pahang juga tidak bercadang untuk menjalankan persidangan ini secara hibrid.
“Kita akan buat secara fizikal. Kita juga pernah buat persidangan dengan penjarakan fizikal… sebelum ini dah, pada sidang sebelum ini,” katanya.
Sebelum ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen dijalankan secepat mungkin bagi membolehkan Kerajaan membentangkan Pelan Pemulihan Negara dan Ahli Dewan Rakyat membahaskan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021.
YAB Menteri Besar Pahang sebelum ini turut menyatakan walaupun Persidangan Dewan Negeri ini penting dalam memelihara aspek ‘Raja Berperlembagaan, Demokrasi Berparlimen’, namun tidak boleh menyimpang keutamaan pada masa ini iaitu menangani dan mengatasi penularan pandemik COVID-19 dalam negeri dan negara. – PAHANGMEDIA