YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika meninjau proses vaksinasi COVID-19 di Pulau Tioman hari ini.

COVID-19: BEKALAN VAKSIN BAGI NOVEMBER, DISEMBER DIAWALKAN KE BULAN OGOS

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

TIOMAN, 29 JUN 2021: Bekalan vaksin COVID-19 bagi bulan November dan Disember di negeri ini akan dibawa ke bulan Ogos, September dan Oktober bagi memastikan 80 peratus penduduk menerima suntikan vaksinasi sebelum musim tengkujuh.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara ini telah dipersetujui oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, YB Khairy Jamaluddin.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

“Kita telah minta bekalan pada bulan November dan Disember di bawa ke bulan Ogos, September dan Oktober supaya kita nak capai sasaran 80 peratus sebelum musim tengkujuh.

“YB Khairy Jamaluddin telah berjanji dengan kita akan menghantar vaksin ini pada bulan Julai sebanyak 440,000 dan kemudiannya pada bulan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di PPV Marina, Kampung Tekek, dan PPV Kampung Genting, di sini, hari ini.

Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Ahli Parlimen Rompin, YB. Dato’ Sri Hassan Ariffin; dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tioman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain.

Beliau berkata, pihak Kerajaan Pahang juga telah bersedia dengan kemudahan PPV bagi menampung kapasiti penerima vaksin di seluruh negeri ini.

“Kita sudah bersedia dengan kapasiti PPV. Sebelum kita meminta ditambahkan bekalan vaksin, kita telah bincang dengan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, dengan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) supaya bersedia.

“Kita tidak mahu vaksin sampai, tapi kita tidak boleh bagi suntikan. Nanti marah ke kita (Kerajaan Pahang) pula. Kita bersedia bila-bila.

“Buat masa ini apa yang kita rancang sudah mencukupi. Sebab kita ada fasiliti yang cukup banyak. Kita sudah bersedia bila-bila masa, yang penting bekalan itu sampai,” katanya.

Menurut beliau lagi, Kerajaan Pahang akan menggunakan semua fasiliti secara bersepadu supaya suntikan ini dapat diberikan kepada rakyat kita di Pahang. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds