UCYP METERAI KERJASAMA DENGAN MyRAS KEMBANG BIDANG ROBOTIK DAN AI

Oleh : Fansurina Abdullah
 
KUANTAN, 27 JUN 2021 : University College of Yayasan Pahang (UCYP) berhasrat memacu jenama pendidikan global dalam bidang robotik dan AI apabila memeterai memorandum persefahaman (MoU) di antara UCYP dan Malaysia Robotics & Automation Society (MyRAS).
 
Naib Canselor UCYP, Profesor Emeritus Dato’ Dr Ahmad Haji Zainuddin berkata, kerjasama yang dimeterai oleh UCYP dan MyRAS itu bakal menjadikan UCYP sebagai sebuah pejabat satelit yang akan berfungsi untuk mengembangkan bidang robotik dan automasi melalui penawaran kursus-kursus jangka pendek dan sijil profesional yang akan memberikan manfaat kepada kesejahteraan masyarakat melalui program pendidikan.
 
“Objektif utama kolaborasi ini adalah untuk mempromosikan kerjasama antara MyRAS dan UCYP dengan mewujudkan sebuah Pejabat Satelit MyRAS-UCYP di wilayah Pantai Timur sekali gus membuka peluang kepada UCYP untuk memenuhi keperluan latihan mahupun perundingan dalam bidang automasi kepada pemain industri Malaysia dan pelbagai negara ASEAN termasuk Filipina, Vietnam dan Thailand.
 
“Kerjasama yang dimeterai ini merupakan sebahagian daripada proses pembangunan UCYP ke arah universiti penuh menjelang 2023. Dengan kerjasama ini juga, UCYP bukan sahaja mampu melangkah ke hadapan bagi kesejahteraan masyarakat, negeri dan negara tetapi mampu menerajui industri AI bersama MyRAS,” katanya.
 
Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara University College of Yayasan Pahang (UCYP) dengan Malaysia Robotics & Automation Society (MyRAS) yang diadakan secara atas talian, baru-baru ini.
 
Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengelola UCYP, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Prof. Dr. Noorul Ainur Mohd Nur, Presiden MyRAS, Dr Ishkandar Baharin, Ketua Setiausaha MyRAS, En. Ragunathan Kuppusamy, Timbalan Presiden Akademia, Ts. Dr. Mohd Azizi Abdul Rahman, Ahli Jawatankuasa Eksekutif MyRAS, En. Max Ong Chong Hup dan Dr. Syafiq Fauzi Kamarulzaman serta barisan Pengurusan Tertinggi UCYP dan para dekan UCYP.
 
MoU itu antara lain bertujuan mewujudkan Pejabat Satelit MyRAS-UCYP, mengenal pasti peluang kerjasama di kedua-dua pihak dan rakan usahasama lain dengan tidak menghadkan kepada sektor perniagaan, teknologi dan pembangunan modal insan dan berkongsi pengetahuan dan pengalaman melalui aktiviti peningkatan keupayaan.
 
Ia juga dapat mewujudkan perkongsian pengetahuan dan kepakaran untuk perkembangan teknologi dan pengkomersialan serta berkongsi idea dan maklumat mengenai perkembangan syarikat yang mengambil bahagian dalam program yang ditubuhkan oleh Pusat Satelit.
 
Dalam perkembangan lain, Profesor Emeritus Dato’ Dr Ahmad berkata, UCYP dan Kolej Yayasan Pahang (KYP) merupakan Institusi Pedidikan Tinggi pertama di Malaysia yang telah menerima sijil pengiktirafan ISO 37001 2016: Sistem Pengurusan Anti-Bribery (ABMS) oleh SIRIM QAS International Sdn. Bhd.
 
“Pengiktirafan melalui pensijilan ini memberi satu impak yang positif kepada UCYP dan KYP untuk terus berkembang dalam sektor pendidikan dengan mengaplikasikan sistem pengurusan kepada pelanggan dengan berkesan dan dapat meningkatkan budaya integriti,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download