RAUB, 26 JUN 2021: Tukang gunting dan tukang kasut di Dewan Negeri Dong di sini yang terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 turut mendapat perhatian Kerajaan Pahang yang tampil menghulurkan bantuan.
Berdasarkan perkongsian di dalam Facebook milik Ahli Dewan Negeri (ADN) Dong, YB. Dato’ Sri Haji Shahiruddin Ab Moin, beliau menyampaikan sumbangan barangan dapur kepada tukang gunting rambut dan tukang kasut di Dong.
Katanya, sumbangan bantuan bagi meringankan beban mereka sekeluarga selepas pendapatan mereka terjejas selepas lama tidak beroperasi akibat COVID-19.

Selain itu beliau turut menyampaikan sumbangan kepada seorang tukang kasut yang selama ini berbasikal dari Gali Hilir ke Bandar Raub untuk mencari rezeki.
“Bagaimanapun beliau hilang punca pendapatan kerana PKP. Justeru saya menyerahkan sumbangan bagi meringankan beban mereka,” katanya.
Menerusi perkongsian di dalam laman Facebooknya itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada pengusaha cuci kenderaan di daerah Raub yang sudah dua bulan perniagaan mereka tidak beroperasi.

Selain itu, sumbangan turut diserahkan kepada pengusaha gunting rambut dan pemilik bengkel di FELDA Lembah Klau.
“Saya harapkan dengan bantuan ini dapat meringankan beban kesemua penerima yang terjejas dengan COVID-19 ini,” katanya. – PAHANGMEDIA