Oleh: Mahathir Ali
PEKAN, 26 JUN 2021: Penyerahan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) COVID-19 bagi Dewan Negeri Bebar diteruskan dengan gimik penyerahan diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) mewakili kampung masing-masing di sini, semalam.
Penyerahan BPP ini disempurnakan oleh Encik Khairuddin Taib sebagai wakil kepada Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri Bebar, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff yang mengiringi YAB Menteri Besar Pahang mengadakan lawatan kerja ke Tasik Chini pagi semalam.
Keseluruhan 19 JKKK menerima bantuan ini untuk diagihkan kepada penduduk yang terjejas seperti hilang pekerjaan dan punca pendapatan di kampung masing-masing.

Sementara itu, YB Dato’ Haji Mohamad Fakhruddin Mohd Ariff meluahkan rasa bersyukur kerana BPP telah disampaikan kepada rakyat yang memerlukan sekaligus dapat meringankan beban mereka.
Katanya, seramai 993 keluarga telah menerima agihan BPP semalam dan terdapat sekitar 3,600 keluarga yang tersenarai sebagai penerima BPP di Dewan Negeri Bebar ini.
“BPP akan terus diagihkan secara berperingkat kepada semua penerima. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga akan terus membantu golongan OKU dan penerima bantuan JKM,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang diatas inisiatif BPP dan sentiasa berusaha membantu rakyat sebaik mungkin.
“Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri pada pertengahan 2018, telah banyak yang dilakukan YAB Menteri Besar demi membela nasib rakyat.
“Kesemua bantuan yang disediakan ini berdasarkan kemampuan kewangan Kerajaan Pahang yang berada pada tahap yang amat baik ketika ini kerana peningkatan hasil pendapatan dan kemasukan pelaburan baharu ke negeri ini.
“Ditambah kesetiaan semua rakyat negeri ini yang sentiasa bersama Kerajaan Pahang dikala susah mahupun senang hingga menjadikan negeri Pahang terus aman dan makmur,” katanya. – PAHANGMEDIA