YAB Menteri Besar Pahang, Dato Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

PROJEK PEMBINAAN JALAN LUAR BANDAR KAMPUNG MAT DALING, JERANTUT HINGGA KAMPUNG PASIR RAJA, DUNGUN

KUANTAN, 24 JUN 2021: Projek pembinaan jalan luar bandar dari Kampung Mat Daling, Jerantut hingga Kampung Pasir Raja Dungun, dijangka akan dilaksanakan di bawah perancangan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) tidak lama lagi.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri yang dipengerusikan beliau semalam, telah mendengar dan berpuas hati dengan taklimat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang mengenai projek pembinaan jalan luar bandar itu.

Beliau berkata, Ialuan itu merupakan sebahagian daripada projek sambungan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) (2016 – 2020) sebelumnya.

“Jalan luar bandar dimaksudkan ialah Jalan Kampung Pasir Raja, Hulu Dungun, Terengganu ke Kampung Mat Daling, Jerantut sepanjang 52.55 kilometer di mana 40 kilometer daripadanya ialah dari sempadan Pahang-Terengganu hingga ke Kampung Mat Daling.

“Jalan ini ialah dua fasa terakhir di bawah perancangan KPLB bagi melengkapkan jalan luar bandar antara kampung dari daerah Jerantut ke daerah Dungun di Terengganu di mana ia merupakan laluan dua lorong (single carriageway) dengan lebar 6.5 meter dan berturap, melibatkan pembinaan 12 buah jambatan termasuk 10 buah sahaja antara sempadan Pahang-Terengganu dan Kampung Mat Daling,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, MMK dimaklumkan setakat ini, status pelaksanaan ialah pada peringkat perolehan termasuk rundingan tentang kos sebelum dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MoF) untuk keputusan.

“Adalah diharapkan projek ini menjalani proses lancar dan sebaik-baik mendapat keputusan MoF supaya JKR dapat menggerakkan usaha untuk memula dan menyiapkannya dalam tempoh ditetapkan demi manfaat rakyat,” katanya.-PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds