Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 23 JUN 2021 : Masyarakat terutama penduduk di Negeri Pahang perlu menggembleng usaha dan tenaga bersama pihak kerajaan bagi memastikan negeri ini berjaya mencapai sifar kes bagi jangkitan COVID-19.
Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pahang, Encik Zairasyahli Shah Zakaria berkata, orang ramai perlu bersama-sama pihak kerajaan untuk sama memastikan Pahang dapat menjadi negeri hijau daripada jangkitan COVID-19 ini.
“Kita kini sedang sedaya upaya untuk menjadikan Pahang negeri hijau dengan menurunkan kes-kes jangkitan kepada tahap kosong, usaha ini tidak akan berjaya tanpa usaha semua pihak selain kerjasama daripada daripada penguatkuasa dan kerajaan.

“Budayakan pemakaian pelitup muka, jangan berkumpul dan menjaga jarak fizikal kerana saya lihat orang ramai sukar untuk menjaga jarak sesama sendiri. Tolonglah disiplinkan diri kerana jika Pahang menjadi negeri hijau, manfaatnya akan dapat dirasai oleh masyarakat itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, katanya, kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Pahang dalam keadaan baik meski pun terdapat peningkatan jumlah orang ramai di beberapa lokasi awam.
“Sebenarnya ketika perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beberapa sektor perniagaan keperluan (essential) sudah dibenarkan beroperasi namun dengan pemantauan dan kawalan SOP yang ketat, jadi tidak hairanlah jika terlihat ramai penduduk keluar mendapatkan keperluan mereka pada siang hari dan pada malam pula semua operasi perniagaan ditutup selewat-lewatnya jam 8 malam.
“Inisiatif dari pihak kerajaan ini sedikit sebanyak turut membantu sektor ekonomi di kawasan masing-masing,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mengulas kadar peningkatkan kes di Pahang meningkat pada hari ini ekoran jangkitan yang berlaku di pasaraya Tunas Manja Group (TMG) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kuantan, Kluster Selindang di Lipis dan beberapa kes melibatkan kebun-kebun sayur di Tringkap, Cameron Highlands.
Hari ini Pahang mencatatkan sebanyak 245 kes jangkitan COVID-19 berbanding semalam dengan 131 kes. – PAHANGMEDIA