Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Mohd Mahathir Ali
PEKAN, 22 JUN 2021 : “Terima kasih Menteri Besar sudi datang rumah tok,” ujar Puan Adiah Ahmad yang menerima kunjungan YAB Menteri Besar Pahang hari ini.
Puan Adiah, 85, melahirkan rasa teruja kerana dapat bertemu dengan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail buat pertama kalinya.
“Tok seronok sangat dapat jumpa Menteri Besar kita. Pertama kali tok jumpa Menteri Besar. Tak sangka Menteri Besar nak datang naik rumah tok, datang borak-borak tanya pasal tok.
“Terima kasih banyak juga Menteri Besar sudi datang, bagi macam-macam dekat tok. Seronok sangat tok rasa,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), di sini hari ini.

YAB Menteri Besar Pahang melawat rumah Puan Adiah di rumahnya di Jalan Belakang Surau Istana Abu Bakar di sini dan menyampaikan sumbangan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) berupa wang dan bekalan makanan.
Turut hadir, Ahli Dewan Negeri (ADN) Bebar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; ADN Pulau Manis, YB. Dato’ Khairuddin Haji Mahmud; ADN Peramu Jaya, YB. Dato’ Sri Sh. Mohmed Puzi Sh. Ali; ADN Chini, YB. Mohd Sharim Haji Md. Zain dan Pegawai Daerah Pekan, YH. Dato’ Zaliza Zulkipli.
Seorang lagi penerima BPP dari Kampung Permatang Pauh, Puan Timah Ismail, 80, melahirkan rasa syukur kerana menerima sumbangan ini.
“Alhamdulillah, terima kasih sangat Menteri Besar bagi macam-macam. Rasa seronok dapat jumpa sendiri Menteri Besar kita.
“Duit sumbangan yang Menteri Besar bagi ini cadangnya dapat guna buat belanja sikit-sikit. Beras dan barang makan lain ini boleh buat makan sekeluarga,” katanya. -PAHANGMEDIA