YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika berucap pada majlis perasmian Webinar Basmi COVID-19 Kawasan Felda Negeri Pahang Darul Makmur yang diadakan secara maya hari ini.

KERAJAAN PAHANG SASAR CAPAI IMUNISASI KELOMPOK SEBELUM TENGKUJUH

Oleh : Fansurina Abdullah
 
KUANTAN, 22 JUN 2021 : Kerajaan Pahang menyasarkan sebanyak 80 peratus penduduk iaitu kira-kira 1.2 juta penduduk menerima suntikan vaksin COVID-19 sebelum tiba musim tengkujuh.
 
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia bertujuan memastikan rakyat di negeri ini mencapai imunisasi kelompok bagi mengelakkan jangkitan apabila musim tengkujuh tiba pada setiap penghujung tahun di Pahang.
 
“Saya berharap kita semua dapat bekerjasama bagi memastikan lebih ramai dapat mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera kerana setakat ini hanya 50 peratus sahaja daripada penduduk telah mendaftar.
 
“Jadi, kita perlu meneruskan program rumah ke rumah (outreach) untuk memberi penerangan sekali gus mendaftarkan penduduk bagi mendaftarkan sejumlah 30 peratus lagi penduduk bagi mencapai sasaran 80 peratus ini,” katanya.
 
Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian Webinar Basmi COVID-19 Kawasan Felda Negeri Pahang Darul Makmur yang diadakan secara maya, di sini, hari ini.
 
Baru-baru ini, katanya, Kerajaan Pahang telah berjaya mendapatkan sebanyak 440,000 dos vaksin COVID-19 pada Julai depan bagi mengatasi kelewatan penerimaan vaksin di kalangan penduduk yang telah lama mendaftar.
 
“Di Pahang, jumlah pendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 adalah tinggi namun tidak ramai yang dapat menerima suntikan mereka iaitu hanya kira-kira 14 peratus daripada jumlah keseluruhan pendaftar kerana bekalan vaksin yang terhad.
 
“Kerana itulah saya meminta agar kerajaan persekutuan dapat menyelaras semula penghantaran vaksin yang telah diperuntukkan kepada negeri Pahang pada bulan berikutnya supaya dapat diterima lebih awal pada Ogos, September atau Oktober sebelum tiba musim tengkujuh nanti,” katanya.
 
Negeri Pahang menerima taburan hujan yang tinggi pada setiap musim tengkujuh yang boleh mengkibatkan banjir sekali gus berisiko meningkatkan penularan pandemik COVID-19 sekiranya imunisasi kelompok gagal dicapai.
 
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Kerajaan Negeri juga telah membekalkan sebanyak 7,100 bakul makanan bagi semua Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), baru-baru ini.
 
Beliau berharap semua pihak dapat menggembleng tenaga untuk memujuk masyarakat supaya yakin terhadap program pemvaksinan seterusnya mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 supaya semua pihak dapat menikmati kehidupan asal sebagaimana yang telah dikecapi oleh beberapa negara lain di dunia.
 
“Selain menjaga SOP dan patuh kepada arahan kerajaan, menerima suntikan vaksin COVID-19 adalah salah satu cara bagi menghentikan pandemik ini seterusnya dapat menjalani kehidupan asal seperti sebelum ini,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download