Tasik Chini

KETSA SOKONG USAHA KERAJAAN PAHANG PELIHARA TASIK CHINI

KUANTAN, 20 JUN 2021: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sentiasa menyokong usaha dan komitmen Kerajaan Negeri Pahang dalam memelihara tapak rizab biosfera Tasik Chini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Hj Nasarah berkata, di antara komitmen Kerajaan Negeri ialah, memperluaskan Hutan Simpan Chini kepada 6,000 hingga 7,000 hektar, mempergiatkan pemuliharaan kawasan Tasik Chini, pelaksanaan aktiviti penguatkuasaan secara bersepadu, menghentikan aktiviti melombong di kawasan Tasik Chini serta mempertahankan status tapak biosfera UNESCO dilaksanakan.

Justeru KeTSA sentiasa menekankan kepentingan memelihara kelestarian kawasan tapak rizab biosfera Tasik Chini bagi menyokong usaha-usaha mempertahankan pengiktirafan ini.

“Dasar dan hala tuju telah ditetapkan dalam memastikan pengurusan dan pembangunan sumber-sumber asli dilaksanakan secara bertanggung jawab dan mampan.

“Selaras dengan fungsi kawal selia ini, KeTSA tidak akan mengeluarkan sebarang kelulusan untuk aktiviti perlombongan di kawasan-kawasan pemeliharaan seperti Hutan Simpanan Kekal (HSK), Kawasan Rizab Perlindungan mahupun kawasan yang telah diwartakan secara khusus seperti tadahan air atau Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS),” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) juga tidak akan mengeluarkan sebarang Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM) bagi permohonan dalam kawasan-kawasan berkenaan.

“Bagi kelulusan untuk kawasan selain daripada itu adalah tertakluk kepada penilaian dan kelulusan teknikal yang dapat menyediakan suatu tempat kerja yang selamat dan tidak membahayakan komuniti bersebelahan merangkumi flora dan fauna,” katanya.

Katanya lagi, diharapkan dengan adanya inisiatif daripada Kerajaan Pahang ini, pengiktirafan Tasik Chini sebagai tapak rizab biosfera MAB dapat terus dipertahankan.

“Pihak Sekretariat UNESCO Paris telah memberikan tempoh sehingga tahun 2022 untuk penilaian semula status tapak rizab biosfera Tasik Chini.

“Sebagai tapak rizab biosfera yang pertama di Malaysia, pengurusan Tasik Chini menjadi kayu pengukur kepada pengurusan semua khazanah alam semula jadi negara,” katanya.

Jelasnya lagi, KeTSA akan terus memberikan kerjasama dan menyokong inisiatif Kerajaan Negeri Pahang ini bagi memastikan khazanah negara yang bernilai tinggi ini terpelihara demi faedah generasi masa kini dan akan datang. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download