Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 19 JUN 2021 : Empat kematian baharu akibat COVID-19 di negeri ini melibatkan pesakit yang mempunyai kaitan dengan Kluster Rantau Kenanga.
Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), YH. Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah dalam satu kenyataan media berkata sebanyak tujuh kematian baharu dilaporkan hari ini.

Beliau berkata namun hanya enam kes didaftarkan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana satu kes iaitu kes 105 meninggal dunia bukan disebabkan oleh COVID-19.
“Kes ke-105 merupakan seorang perempuan berbangsa Melayu berumur 79 tahun dari Felda Tembangau 3, Bera. Kes mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan kolesterol tinggi. Kes mempunyai kaitan dengan Kluster Rantau Kenanga.
“Kes ke-106 merupakan seorang lelaki berbangsa Melayu berumur 38 tahun dari Taman Saga, Mentakab, Temerloh. Kes mempunyai kaitan dengan Kluster Rantau Kenanga.
“Kes ke-109 merupakan seorang lelaki berbangsa Melayu berumur 57 tahun dari Taman Rimba, Mentakab, Temerloh. Kes mempunyai latar belakang penyakit diabetes, darah tinggi, buah pinggang (ESRF), jantung (IHD), dyslipidaemia dan hepatitis c. Kes mempunyai kaitan dengan Kluster Rantau Kenanga.
“Kes ke-110 merupakan seorang lelaki berbangsa Melayu berumur 67 tahun dari Felda Jengka 2, Maran. Kes mempunyai latar belakang penyakit diabetes, darah tinggi dan kanser paru-paru. Kes mempunyai kaitan dengan Kluster Rantau Kenanga,” katanya.
Beliau berkata tiga lagi kematian yang direkodkan menjadikan jumlah kumulatif kematian di negeri ini meningkat kepada 111 kes hari ini.
“Kes ke-107 merupakan seorang lelaki berbangsa Melayu berumur 52 tahun dari Taman Maran Damai, Maran. Kes mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, kencing manis dan strok.
“Kes ke-108 merupakan seorang lelaki berbangsa Melayu berumur 65 tahun dari Kg Bukit Resak, Paya Pulai Batu 3 Jalan Maran, Temerloh. Kes mempunyai gejala (demam, hilang selera makan, lemah badan) sejak 29 Mei 2021.
“Manakala kes ke-111 merupakan seorang perempuan berbangsa Melayu dari Taman Jengka Indah, Maran. Kes mempunyai latar belakang penyakit diabetes, darah tinggi dan morbid obesiti,” katanya.
Menurut beliau, sebanyak 20 pesakit COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan tujuh daripadanya memerlukan bantuan mesin pernafasan.
“Terdapat 20 kes COVID-19 positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 10 kes di ICU Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (HTAA) dan 10 kes di ICU Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh (HoSHAS) dengan tujuh (7) kes memerlukan bantuan mesin pernafasan.
“Sehingga jam 12 tengah hari, sejumlah 423 kes positif COVID-19 sedang dirawat di lapan (8) buah hospital di negeri Pahang dan enam (6) buah Pusat Kuarantin & Rawatan COVID-19 (PKRC) iaitu PKRC UMP, PKRC iKPKT, PKRC ILKKM, PKRC SUKPA, PKRC Asrama Jururawat Jengka dan PKRC KUIPSAS. Manakala 46 kes berada dalam pengawasan di rumah oleh pasukan CAC,” katanya. -PAHANGMEDIA