COVID-19 : KLUSTER BAHARU MEMBABITKAN PEKERJA PEMBINAAN LEBUHRAYA DI LIPIS

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 19 JUN 2021 : Terdapat satu kluster baharu dengan sembilan individu positif COVID-19 dilaporkan hari ini melibatkan penularan wabak dalam kalangan pekerja syarikat pembinaan lebuhraya di Lipis.

Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), YH Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah dalam satu kenyataan media berkata kluster ini dikenali sebagai Kluster Selindang.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), YH. Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah.

“Nama kluster merujuk kepada lokaliti premis di mana telah berlakunya penularan wabak dalam kalangan pekerja di sebuah syarikat pembinaan lebuhraya bertempat di Padang Tengku, Lipis.

“Kes indeks bagi kluster ini merupakan seorang lelaki bukan warganegara berumur 32 tahun yang bekerja di tapak pembinaan syarikat tersebut. Kes telah dikesan positif hasil saringan pra-pekerjaan yang dilakukan oleh majikan.

“Sehingga 19 Jun 2021 jam 12 tengah hari, seramai 172 individu telah disaring dalam kluster ini dan 9 kes disahkan positif COVID-19,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan jumlah kes baharu yang didaftarkan pada hari ini, sebanyak 41 kes merupakan warganegara Malaysia manakala 15 kes merupakan warganegara asing.

“Sebanyak 54 kes dikategorikan sebagai jangkitan tempatan dan dua (2) kes jangkitan import B (Kuala Lumpur). Terdapat 27 kes diperolehi daripada saringan kluster, 23 saringan kontak rapat, tiga (3) saringan bergejala dan tiga (3) saringan pekerjaan,” katanya.

Sebanyak 56 kes baharu telah dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di Negeri Pahang telah mencecah ke angka 11,953 kes. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds