Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 18 JUN 2021 : Lebih banyak Unit Bergerak Vaksinasi COVID-19 akan digerakkan bagi memberi suntikan vaksinasi kepada mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

Menteri Penyelaras Program Imuniasi COVID-19 Kebangsaan, YB Khairi Jamaluddin berkata unit ini akan dapat memberi vaksin secara terus kepada mereka yang ada di pedalaman.
“YAB Menteri Besar juga sangat prihatin dengan suntikan yang akan diberi di kawasan pedalaman dan juga di kampung-kampung Orang Asli termasuklah di pulau-pulau.
“Sebab itu kita akan menggerakkan lebih banyak Mobile Outreach Team ataupun unit-unit bergerak dan Pengarah Kesihatan Negeri yakin bahawa unit ini akan dapat memberi vaksin terus kepada mereka yang ada di pedalaman,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Bertindak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak.
Tambah beliau lagi, Kerajaan juga telah menawarkan vaksin CanSino yang memerlukan hanya satu dos suntikan kepada Kerajaan Pahang.
“Saya telah tawarkan kepada Negeri Pahang vaksin CanSino ini dia satu dos saja, saya rasa ia sesuai digunakan di kawasan pedalaman di negeri Pahang terutamanya kampung-kampung Orang Asli, kawasan Hulu Tembeling, yang susah nak sampai, 3 hingga 4 jam baru boleh access. Saya rasa kalau kita buat satu dos sangat senang, kita suntik sekali je, habis. Jimat kos.
“CanSino kita akan terima pada bulan Julai. Saya sedang berunding jadual penghantaran dengan syarikat CanSino. Mungkin pertengahan bulan Julai kita akan terima penghantaran pertama, dan kita akan agihkan kepada negerilah. Jadi CanSino ini kita akan bagi kepada Sabah, Sarawak, Pahang, negeri-negeri yang ada kawasan kampung pedalaman yang susah nak diakses,”katanya.
Beliau berkata dalam lawatan ke Pantai Timur, ketiga-tiga negeri ini telah mempunyai kapasiti kesihatan untuk menambah jumlah suntikan yang dapat diberikan kepada orang ramai.
“Dan cuma kita perlu hantar bekalan vaksin yang telah dijanjikan untuk program-program yang telah dirancang terutamanya mobile program dì Kelantan, di Terengganu, di Pahang banyak bergantung kepada mobile outreach program, unit bergerak yang masuk ke dalam untuk memberi suntikan.
“Jadi persepsi yang mengatakan bahawa susah untuk orang pedalaman, orang kampung kena daftar dengan MySejahtera itu memang tidak betul sebab kita sudah pun melaksanakan mobile outreach di mana kita masuk, kita suntik, kita ambil nama, kita terus masuk dalam sistem. Itulah cara yang kita guna pakai di kawasan luar bandar dan juga di kawasan pedalaman,” katanya. -PAHANGMEDIA