YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama Menteri Penyelaras Program Imuniasi COVID-19 Kebangsaan, YB Khairi Jamaluddin ketika sidang media selepas Mesyuarat Bertindak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
COVID-19: CALON STPM, SPM BAKAL TERIMA VAKSIN JULAI DEPAN
Oleh : Ain Nadhirah Basha Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 18 JUN 2021 : Para Pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 akan diberikan suntikan vaksinasi COVID-19 bermula bulan hadapan.
Menteri Penyelaras Program Imuniasi COVID-19 Kebangsaan, YB Khairi Jamaluddin berkata pelajar berkenaan akan diberi suntikan vaksin Pfizer-BioNTech sebagai persediaan mereka kembali ke sekolah.
“Suntikan vaksinasi ini diharap dapat dilakukan pada Julai kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM dan STPM ini.
“Namun demikian kemasukan semula para pelajar ini ke sekolah masih belum diputuskan lagi oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan ia bergantung kepada kes-kes penularan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama Menteri Penyelaras Program Imuniasi COVID-19 Kebangsaan, YB Khairi Jamaluddin ketika sidang media selepas Mesyuarat Bertindak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
“Plan kita untuk suntikan kepada para pelajar ini, kita akan gunakan sekolah sebagai tempat vaksinasi. Dia (pelajar) pergi ke sekolah, dia (pihak kesihatan) suntik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Bertindak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak.
Kementerian Pendidikan (KPM) semalam mencadangkan agar murid yang bakal menduduki peperiksaan awam diberi keutamaan untuk menerima suntikan vaksinasi dan ia telah dipersetujui oleh Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF).
Menteri Kanan Pendidikan, YB. Datuk Radzi Jidin berkata ia susulan kelulusan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak 12 tahun ke atas oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA). -PAHANGMEDIA