Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 18 JUN 2021 : Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini menerima sumbangan 25 kerusi roda berjumlah RM5,750 daripada Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) dan sumbangan peribadi melalui MBNP 15 kerusi melalui Exco Tugas-tugas Khas, Encik Nik Ridzuan Kamarudin bagi kegunaan di Unit Perubatan Transfusi dan semua pesakit di hospital berkenaan.
Pengarah HTAA, Dr. Rahimah Ibrahim berkata, sumbangan tersebut sangat bermakna sebagai keperluan berterusan kepada pesakit di hospital berkenaan.
“Alhamdulilah pihak kami menerima sangat banyak sumbangan daripada orang awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang begitu prihatin dan mengambil berat terhadap keperluan pesakit di hospital ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) pada Majlis Penyerahan Kerusi Roda di Jabatan Perubatan Transfusi, HTAA, di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Timbalan Presiden MBNP, Encik Alif Yaakob, Setiausaha Agung MBNP, Encik Wan Mohd Hafizul Wan Ismail dan Ketua Unit Perubatan Transfusi dan Hematologi HTAA, Dr Salman Mohd Sahid.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya sangat menghargai sumbangan yang diterima sama ada daripada NGO mahu pun orang ramai, namun beliau menyatakan bahawa warga kesihatan kini tidak dapat melakukan outreach terhadap pesakit-pesakit yang memerlukan rawatan susulan ekoran perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kami tidak dapat melakukan outreach sehingga ada di kalangan warga emas atau pesakit lumpuh yang tidak dapat melakukan rawatan susulan kerana anak- anak tidak dapat merentas negeri, ada juga yang tidak mempunyai kemudahan pengangkutan kerana keadaan keuzuran mereka serta menghadapi masalah kewangan, golongan seperti ini sangat perlu dibantu untuk menerima rawatan di hospital,” katanya.
Sementara itu, Encik Alif berkata, sumbangan tersebut merupakan keprihatinan MBNP terhadap keperluan pesakit terutama di Unit Perubatan Transfusi.
“Kami berharap sumbangan kerusi roda ini akan dapat dimanfaat dan digunakan oleh orang ramai khususnya pesakit di HTAA,” katanya.
Sebanyak 10 kerusi roda akan digunakan di Unit Perubatan Transfusi manakala selebihnya akan digunakan oleh pesakit di wad-wad HTAA. – PAHANGMEDIA