KUANTAN, 16 JUN 2021: Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang ingin memaklumkan bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Facebook Cmk Cucumatkilau bertajuk ‘PTG Pahang Dakwa Tiada Lesen Lulus Selepas 2019, Tetapi Ada Bukti Pajakan Melombong Baharu Lulus Pada 2020’ yang disiarkan pada 14 Jun lalu adalah tidak benar.
Pengarah Tanah Dan Galian Negeri Pahang, YH Dato’ Haji Fadzilla Salleh menegaskan bahawa tiada lagi kelulusan baharu pajakan melombong yang diberikan di kawasan Tasik Chini oleh kerajaan negeri selepas bulan Mac 2019.
Beliau berkata, berdasarkan semakan yang dibuat, pajakan melombong yang dimaksudkan telahpun diluluskan pada 11 Disember 2013 dan didaftarkan pada 17 September 2020 di atas nama Takas Supply & Resources Sdn. Bhd. dengan rujukan daftar ML.15/2020.
Menurut beliau, tindakan pendaftaran itu mengambil masa kerana terlibat dengan permohonan penukaran nama dan penyediaan pelan pra-hitungan serta pelan akui dalam menentukan had sempadan kawasan lombong.
“Walau bagaimanapun, bagi tujuan pengoperasian lombong, permohonan Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM) oleh Takas Supply & Resources Sdn. Bhd. telah ditolak oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) pada 28 April 2021,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, PTG Negeri Pahang juga menjelaskan penggunaan ‘tahun’ pada nombor pajakan melombong yang didaftarkan adalah merujuk kepada tahun sesuatu pajakan melombong itu didaftarkan dan bukan tahun pajakan melombong diluluskan.
“Adalah dimaklumkan bahawa tempoh pajakan melombong dan tempoh operasi adalah dua perkara yang berbeza. Operasi melombong hanya boleh dimulakan setelah mendapat kelulusan SKSPM yang dikeluarkan oleh JMG mengikut tempoh tertentu,” katanya.-PAHANGMEDIA