Gambar hiasan

KADAR PEMATUHAN SOP PKP 3.0 DI PAHANG BAIK  

 
KUANTAN, 15 JUN 2021 : Tahap pematuhan orang ramai khususnya rakyat Pahang terhadap prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak dua minggu lalu adalah amat baik.
 
Timbalan Ketua Polis Pahang, YH. Dato’ Yusri Hasan Basri berkata, berdasarkan pemantauan dan pemerhatian pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati bahawa kadar pematuhan bagi SOP PKP 3.0 di negeri ini adalah 97 peratus.
 
Bagaimanapun katanya, sejak PKP 3.0 dilaksanakan pada 1 Jun hingga 14 Jun, PDRM telah mengeluarkan sebanyak 438 kompaun di mana 379 kompaun dikenakan terhadap individu manakala 59 pula dikeluarkan terhadap premis.
 
“Operasi penguatkuasaan pematuhan SOP PKP 3.0 yang lalu telah dijalankan secara bersepadu bersama beberapa agensi dan pasukan lain seperti pasukan tentera, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pasukan Rela dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
 
“Kesemua mereka dikenakan tindakan kompaun mengikut ketetapan denda yang sewajarnya berdasarkan kepada kesalahan yang dilakukan manakala bagi pihak premis pula, kompaun juga akan dikeluarkan sama ada oleh PDRM atau PBT dan cadangan penutupan sementara premis juga akan dikenakan sebagai salah satu pengajaran kepada pemilik premis berkenaan,” katanya kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.
 
Dalam pada itu, beliau berkata, kesalahan yang kerap dilakukan oleh orang ramai adalah tidak memakai pelitup muka di tempat awam selain tidak mendaftar atau mengimbas QR Code serta tidak mengimbas suhu ketika masuk ke premis.
 
“Antara kesalahan lain adalah merentas daerah atau negeri tanpa melampirkan surat kebenaran dan tidak mendapat kebenaran daripada pihak polis,” jelasnya.
 
Beliau turut menasihati orang ramai supaya patuh kepada SOP yang telah ditetapkan meskipun pihak PDRM menggunakan pendekatan amaran mesra sebelum tindakan tegas dikenakan bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap kepentingan mematuhi SOP.
 
“Jika dilihat dari perlaksanaan PKP 1.0 yang terdahulu, memang banyak kelonggaran yang telah diberikan dalam perlaksanaan PKP 3.0 pada kali ini, namun kelonggaran ini bukanlah satu alasan atau tiket untuk orang ramai leka dan lalai.
 
“Norma-norma baharu mestilah diamalkan dan SOP perlulah dipatuhi supaya kita dapat menghalang penularan COVID-19 ini. Orang ramai perlu membantu dan turut serta bersama-sama dengan pihak berkuasa serta pihak kerajaan untuk sama-sama melawan Covid-19 ini,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download