KUANTAN, 15 JUN 2021: YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail hari ini menzahirkan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk rakyat di negeri ini sehingga membolehkan Pahang mencatatkan kes terendah sejak tiga minggu lalu.
Dalam satu video yang dikongsikan di dalam Facebook rasmi beliau, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut merasa bangga dengan penurunan kes COVID-19 yang pada hari ini mencatatkan sebanyak 32 kes.
“Saya ingin mengambil kesempatan ingin mengucapkan kepada rakyat Negeri Pahang kerana pada hari ini kita berjaya turun kes COVID19 kepada angka 32 sahaja.

“Ini adalah kerana usaha bersama dan sudah tentu saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada mereka yang terlibat secara langsung iaitu pihak barisan hadapan, kesihatan, polis, RELA, Pegawai Daerah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang (SUK) dan semua termasuk kita sendiri.
“Ini kerana kita telah memberikan kerjasama yang sangat baik dan ini menyebabkan kes telah turun. Saya sangat bangga dengan penurunan kes ini dan kita harus kekal mematuhi SOP, penjarakan sosia dan dengar arahan Kerajaan Negeri,” katanya.
Sehubungan itu, beliau juga menyeru kepada seluruh rakyat Pahang supaya bersama-sama menyedekahkan bacaan Surah Al-fatihah kepada mereka yang telah pergi akibat wabak COVID-19 ini.
“Teruskan usaha kita melawan COVID-19 habis-habisan hingga kita mampu mencapai angka kosong kes jangkitan. Jika dulu kita boleh mencapai angka kosong kes, sekarang juga kita boleh,” katanya. – PAHANGMEDIA