KUANTAN, 13 JUN 2021: Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) Negeri Pahang yakin dan percaya serta menyokong usaha komited berterusan Kerajaan Negeri Pahang di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail untuk memelihara dan memulihara alam sekitar di Tasik Chini seperti di Cameron Highland dan Raub.
YARM Pahang menerusi kenyataan media hari ini turut menolak dakwaan bahawa kawasan perlombongan di sekitar Tasik Chini berada dalam rizab hutan simpan.
Menurut yayasan itu, sebanyak 14 lesen telah dikeluarkan di kawasan tersebut sebelum pewartaan dibuat pada tahun 2019 di mana sejak tahun 2019 selepas pewartaan, tiada lesen baharu dikeluarkan berdasarkan kenyataan rasmi Pejabat Tanah dan Galian Pahang.
Jelas yayasan itu, mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 13 Mac 2019, telah bersetuju mewartakan Taman Negeri Tasik Chini seluas 4,600 hektar sebagai Hutan Simpan Chini.
“Justeru, kawasan yang telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Chini tersebut juga telah dicadangkan oleh pihaknya sebagai kawasan baharu Rizab Biosfera UNESCO,” kata yayasan tersebut.
YARM Pahang juga menyanggah tindakan sesetengah pihak yang cuba menangguk di air keruh sedangkan fakta sebenar dimanipulasi demi kepentingan pihak tertentu yang cuba mengaut keuntungan politik serta mencetus provokasi.-PAHANGMEDIA