Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin ketika merasmikan Sambutan Hari Alam Sekitar Negeri Pahang pada tahun 2020 di Pusat Penyelidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Tasik Chini.
KERAJAAN NEGERI KOMITED PEMULIHAN DAN PEMULIHARAAN TASIK CHINI
Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 13 JUN 2021 : Kerajaan Negeri komited dalam menjalankan pemulihan dan pemuliharaan di kawasan tapak rezab biosfera Tasik Chini dengan mewartakan kawasan seluas 4,600 hektar ini sebagai Hutan Simpan Chini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, dan Perladangan dan Komiditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin dalam satu hantaran berkata Kerajaan Negeri Pahang telah bersetuju mewartakan Taman Negeri Tasik Chini bagi memastikan kawasan hutan itu dipelihara dan diuruskan dengan baik selari dengan Dasar Perhutanan Negara pada 13 Mac 2019.
“Bagi memastikan kelestarian alam sekitar Tasik Chini, Kerajaan Negeri Pahang juga bersetuju agar ‘tiada kelulusan baru’ untuk melombong di kawasan terbabit.
“Bagaimanapun, tidak dinafikan masih terdapat kegiatan perlombongan di situ namun ia bukan baharu seperti ditularkan dan kawasan lombong sedia ada tidak termasuk dalam Hutan Simpanan Kekal.
“Operasi perlombongan di situ dikenakan syarat-syarat tambahan yang ketat bagi memastikan tiada pencemaran daripada aktiviti tersebut. Laporan EIA juga perlu disediakan oleh pihak berkenaan,” katanya.
Beliau berkata kebenaran bagi proses berkenaan juga tidak mudah dan perlu melalui pelbagai proses melibatkan tindakan pihak berkuasa negeri dan agensi kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).
“Kuasa Kerajaan Negeri dalam perkara itu berdasarkan Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001 manakala kuasa kerajaan Persekutuan mengikut Akta Pembangunan Mineral 1994 (Akta 525) menerusi skop kebenaran pengoperasian sesuatu aktiviti perlombongan.
“Ia bermaksud, kegiatan melombong di sesuatu kawasan tidak akan mendapat kelulusan jika tidak melibatkan Kerajaan Negeri dan Persekutuan. Pelbagai aspek diambil kira terutamanya alam sekitar supaya tiada pencemaran daripada kegiatan itu,” katanya.
Tambah beliau lagi, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan Projek Tanam Semula sebanyak RM250,000 pasa 2019 bagi menanam semula pokok tutup bumi di bekas lombong untuk memulihkan semula kawasan lombong yang telah tamat operasi.
Menurut beliau lagi, pada 9 Jun lepas, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang mengesahkan bahawa kualiti air Tasik Chini berada dalam kategori bersih berdasarkan pemantauan yang dijalankan.
“Dapatan ini berdasarkan pemantauan bermula tahun 2005 lagi, sejak Tasik Chini dianugerahkan status Rizab Biosfera oleh UNESCO pada Mei 2009 di bawah program Manusia dan Biosfera yang dikoordinasi oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).
“Terdapat 15 stesen pemantauan kualiti air Tasik Chini di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan, dengan kekerapan pemantauan sekali sebulan di setiap stesen.
“Parameter-parameter utama yang diukur ialah Keperluan Oksigen Biokimia (BOD), Pepejal Terampai (SS), Nitrogen Amonia (AN) dan Besi (Fe). Walaubagaimanapun kita juga sememangnya mempunyai bacaan parameter-parameter yang lain.
“Secara umumnya didapati bahawa, data kualiti air bagi tahun 2020 dan 2021 (sehingga Mac) menunjukkan kualiti air Tasik Chini dalam kategori bersih,” katanya.
Menurut beliau, usaha pemulihan dan pemuliharaan Tasik Chini telah dimulakan dan proses ini pastinya akan mengambil masa dalam memastikan Tasik Chini kembali pulih.
“Dalam tempoh itu, agensi-agensi berkaitan seperti Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Alam Sekitar, dan Jabatan Perhutanan akan terus membuat pemantauan bagi memastikan tiada pencemaran daripada aktiviti perlombongan di Tasik Chini,” katanya. -PAHANGMEDIA