Kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang menanam pokok buluh di kawasan ceroboh rizab Tasik Chini pada tahun 2020 sebagai usaha untuk memulihara kawasan tasik tersebut.
USAHA SERIUS JPNP MEMULIHARA TASIK CHINI
KUANTAN, 13 JUN 2021: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) sentiasa serius melaksanakan usaha memulihara kawasan Tasik Chini terutamanya selepas tahun 2019 di mana tiada kelulusan baharu bagi aktiviti melombong di tasik tersebut.
Pengarah Perhutanan Negeri Pahang, YH Dato’ Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, Kerajaan Pahang mula mempergiatkan usaha memulihkan kawasan lombong dengan memperuntukkan RM250,000 melalui Kumpulan Wang Pemulihan Lombong.
Pengarah Perhutanan Negeri Pahang, YH Dato’ Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin
Beliau berkata, usaha itu dilaksanakan terutamanya di kawasan zon penampan (buffer zone) seluas kira-kira 13.12 hektar dengan penanaman pelbagai spesies buluh, tanaman tutup bumi serta spesies komersial bernilai tinggi yang bersesuaian seperti pokok Merawan Siput Jantan dan Meranti Temak Nipis.
Menurut beliau, Kerajaan Pahang juga mengambil tindakan tegas dengan memberhentikan operasi lombong serta-merta ke atas mana-mana pemegang pajakan atau operator lombong di kawasan Tasik Chini, jika berlaku ketidakpatuhan kepada syarat-syarat kelulusan aktiviti perlombongan.
Katanya, pada masa yang sama, Kerajaan Pahang mengambil tindakan penguatkuasaan dan pemulihan segera terhadap sebarang aktiviti pencerobohan di kawasan lombong.
“Pada Julai 2020 misalnya, Kerajaan Negeri Pahang telah mengarahkan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang untuk menyegerakan aktiviti pemulihan di kawasan ceroboh lombong di Tasik Chini seluas 0.45 hektar yang kemudian dilaksanakan dengan kerjasama pihak swasta melalui amalan tanggungjawab sosial korporat mereka.
“Pemantauan berterusan terhadap aktiviti pemulihan kawasan lombong sentiasa dipergiatkan dan pada masa sama, kesedaran dan tanggung jawab pihak pemegang pajakan dan operator lombong turut dipertingkatkan,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, JPNP bersama-sama dengan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang sentiasa bekerjasama dengan pihak operator lombong dalam memberikan khidmat nasihat teknikal tentang kepentingan dan keperluan pemulihan setiap kawasan pajakan lombong.
Menurut beliau, JPNP dengan kerjasama Kementerian Tenaga dan Sumber Asli juga telah merancang Projek Perintis Perhutanan Sosial bersama Komuniti Orang Asli di Tasik Chini di mana beberapa siri konsultasi melibatkan komuniti Orang Asli Kampung Gumum dan Kampung Melai, Pekan telah dilaksanakan sejak tahun 2018 lagi.
“Dalam usaha mewujudkan kesedaran masyarakat setempat, Kerajaan Negeri Pahang menerusi JPNP juga turut melancarkan Kempen ‘1 pokok, 1 Rakyat Negeri Pahang’ yang menyasarkan penanaman pokok sebanyak lima juta batang pada tahun 2021 ini.
“Semua pokok yang ditanam di Chini, Pekan akan direkodkan melalui kempen ini. Kempen ini juga adalah untuk menyokong dan menjayakan Program Penghijauan Malaysia yang menyasarkan tanaman sehingga 100 juta pokok menjelang tahun 2025,” katanya.
YH Dato’ Dr Mohd Hizamri juga menjelaskan, sebagai perancangan pemulihan jangka masa panjang Tasik Chini Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri ke-8/2019 telah bersetuju meluluskan Kawasan Rizab Taman Negeri seluas 4,497.25 hektar (11,112.93 ekar) untuk dijadikan sebagai Hutan Simpan Chini mengikut Seksyen 7 Akta Perhutanan Negara 1984.
Menurut beliau, bagi merealisasi usaha penghutanan semula, kira-kira RM10 juta akan diperuntukkan daripada pelbagai sumber untuk memulihkan kawasan seluas kira-kira 202.34 hektar (500 ekar).
“Setelah selesai proses pewartaan Hutan Simpan Chini, JPNP akan mencadangkan kepada Kerajaan Negeri Pahang agar keseluruhan Hutan Simpan Chini tersebut diwartakan di bawah kategori Hutan Perlindungan di bawah Seksyen 10 Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya.-PAHANGMEDIA