Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin ketika melakukan pemantauan ekoran aduan berhubung pelepasan air hitam ke Sungai Pahang oleh kilang berhampiran, di Temerloh hari ini.

KERAJAAN PAHANG PANDANG SERIUS ISU PENCEMARAN SUNGAI  

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd. Rahim

TEMERLOH, 12 JUN 2021: Kerajaan Pahang bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) memandang serius berhubung isu pencemaran sungai bagi memastikan tiada sisa toksik kilang yang masuk ke Sungai Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin berkata, beliau bersama JAS sentiasa memantau tahap kualiti air di Sungai Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin

“Kerajaan sentiasa memantau supaya sisa kilang yang dibuang ke dalam Sungai Pahang tidak mempunyai toksik setelah melalui beberapa proses dan mematuhi had yang ditetapkan oleh JAS sebelum dilepaskan ke Sungai Pahang.

“Kerajaan juga akan memperketatkan pengawasan terhadap kilang-kilang supaya patuh kepada arahan pihak kerajaan serta tidak mendatangkan kemudaratan kepada rakyat dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan pemantauan ekoran aduan berhubung pelepasan air hitam ke Sungai Pahang oleh kilang berhampiran, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Negeri Kuala Semantan, YB. Dato’ Nor Azmi Mat Ludin, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Pahang, Tuan Haji Mohd Sani Mat Daud dan Pegawai Daerah Temerloh,YH. Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin.

Pemantauan ini dibuat ekoran laporan media pada 11 Jun 2021 yang melaporkan kejadian pencemaran air di lokasi berkenaan.

Media melaporkan keadaan air Sungai Pahang yang tercemar dipercayai sisa kumbahan kilang berdekatan sehingga mengakibatkan kematian beribu ekor ikan yang diternak oleh Encik Mohd Zahir Ibrahim.

Katanya, hasil daripada pemantauan tersebut mendapati kadar kualiti air sungai sudah kembali normal dan penternak ikan sangkar sudah boleh memulakan kerja seperti biasa.

Kerajaan negeri juga meminta agar pihak kilang kertas terbabit dapat membayar ganti rugi kepada penternak ikan sangkar yang telah mengalami kerugian ekoran kematian ikan ternakannya akibat pencemaran tersebut. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds