Gambar yang diperoleh menerusi Google Maps di kawasan Tasik Chini hari ini

DAKWAAN PERLOMBONGAN DI TASIK CHINI DALAM RIZAB HUTAN SIMPAN TIDAK BENAR

KUANTAN, 12 JUN 2021: Dakwaan bahawa kawasan perlombongan di sekitar Tasik Chini berada dalam rizab hutan simpan adalah tidak benar.

Pejabat Pengarah Tanah Dan Galian Pahang menerusi satu kenyataan menjelaskan, sebanyak 14 lesen telah dikeluarkan di kawasan tersebut sebelum pewartaan dibuat pada tahun 2019 dan selepas itu tiada lesen baharu dikeluarkan.

Pejabat itu menjelaskan, daripada 14 kawasan perlombongan itu hanya tinggal dua sahaja yang masih beroperasi di mana satu lesennya akan tamat pada hujung bulan ini dan satu lagi akan tamat pada hujung tahun ini.

Kata pejabat itu lagi, bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan pentingnya memulihara khazanah alam, pihak berkuasa negeri atau Kerajaan Negeri Pahang komited memastikan tiada lesen baharu akan dikeluarkan di kawasan Tasik Chini.

“Pihak berkuasa negeri juga tidak berkrompomi atas kegagalan pematuhan sebagaimana syarat-syarat yang perlu dipatuhi pemegang pajakan atau operator melalui penilaian dan ulasan daripada lapan agensi teknikal dari Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri Pahang seperti Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Tanah dan Daerah (PTD), Badan Kawal Selia Air, Jabatan Perhilitan Negeri (JPN) dan Jabatan Kerja Raya (JKR),” jelas kenyataan pejabat itu.

Kenyataan ini dibuat sebagai merujuk kepada laporan media berkaitan isu kemusnahan alam sekitar di Tasik Chini akibat aktiviti perlombongan dan ia telah mendapat perhatian serius pihak berkuasa Negeri Pahang.

Pihak berkuasa negeri melalui mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 13 Mac 2019, bersetuju mewartakan Taman Negeri Tasik Chini seluas 4,600 hektar sebagai Hutan Simpan Chini.

Kawasan yang telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Chini tersebut juga telah dicadangkan oleh PBN sebagai kawasan baharu Rizab Biofera UNESCO.

Kenyataan pejabat itu turut menjelaskan, pada 17 Jun 2020, pihak berkuasa negeri melalui mesyuarat MMK Ke-24/2020 telah mengeluarkan arahan berhenti kerja serta-merta ke atas semua pemegang pajakan atau operator di kawasan Tasik Chini kerana didapati berlaku ketidakpatuhan kepada syarat-syarat kelulusan aktiviti perlombongan.

Jelas pejabat itu juga, pihak berkuasa negeri telah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) nagi tindakan pemulihan akibat ketidakpatuhan kepada syarat syarat kelulusan aktiviti perlombongan di Tasik Chini pada 20 Julai 2020 kepada semua pajakan dan operator terlibat.

“Pemajak atau operator dikehendaki melakukan penandaan sempadan yang jelas, pemasangan penghadang atau pagar, penanaman pokok, pendaftaran penggunaan jentera, mengenakan bayaran bon jaminan RM 250,000, penetapan jadual pemeriksaan, penyediaan pos pasukan penguatkuasa, pemasangan papan tanda dan lawatan pemeriksaan secara berkala. Mereka hanya dibenarkan beroperasi setelah semua arahan dipatuhi,” kata pejabat itu.

Pejabat Pengarah Tanah Dan Galian Pahang juga menjelaskan, Jabatan Alam Sekitar sentiasa membuat pemantauan ke atas kulaiti air di Tasik Chini sejak 2005 yang melibatkan 15 stesen pemantauan air dan hasil pemantauan mendapati kualiti air ialah pada tahap bersih dan selamat untuk semua hidupan air.

“Jabatan Alam Sekitar telah menguatkuasakan perintah penyediaan laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) bermula tahun 2015 bagi memastikan kelestarian alam sekitar,” kata pejabat itu.

Dalam pada itu, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang pula bermula 18 November sehingga 30 Disember 2019 telah melaksanakan kerja-kerja pemulihan dan penanaman pokok di kawasan Tasik Chini dengan keluasan 1.2 hektar melalui Kumpulan Wang Amanah Pemulihan Bersama bernilai RM250,000.

Menurut pejabat itu lagi, pihak berkuasa negeri sentiasa konsisten dalam memastikan kelestarian khazanah alam bukan sahaja di Tasik Chini malah di seluruh Negeri Pahang sebagaimana ketegasan dan kejayaan terserlah melalui tindakan penguatkuasan serta pemuliharan Sungai Ichat di Cameron Highlands.

“Kerajaan Negeri Pahang dalam pada sentiasa berusaha merangsang semua aktiviti ekonomi bagi memakmurkan Negeri akan tetap mengutamakan kelestarian dan perlindungan alam sekitar,” jelas kenyataan pejabat itu lagi.-PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download