COVID-19: JUMLAH PESAKIT DITEMPATKAN DI PKRC MENURUN
Oleh: Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 11 JUN 2021: Kapasiti pesakit di enam Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di negeri ini menunjukkan penurunan berbanding semalam iaitu sebanyak 741 orang hari ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, berbanding semalam, sebanyak 752 orang ditempatkan di PKRC sedia ada.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Kol. (PA) Che Adam A. Rahman
“PKRC Gambang menempatkan 236 orang daripada 1,380 tempat, Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) menempatkan 227 daripada 360 tempat dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKMM) 143 orang daripada 305 tempat.
“Bagi Institut Latihan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (i-KPKT) di Bentong seramai 61 orang daripada 300 tempat sedang digunakan, Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) menempatkan 38 orang daripada 250 tempat, dan Asrama Jururawat Hospital Jengka pula menempatkan 36 orang daripada 45 tempat,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 1,899 tempat atau 72 peratus kapasiti masih boleh digunakan di kesemua PKRC yang telah dibuka.
Menurut beliau lagi, kapasiti di lima Pusat Kuarantin yang ada menunjukkan peningkatan berbanding semalam iaitu 181 orang hari ini daripada 143 orang.
“Seramai 83 orang ditempatkan di Puasat Kuarantin Institut Aminuddin Baki, 48 orang di i-KPKT, 28 di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Muadzam Shah, 22 di Cool Point Hotel Cameron Highlands, manakala Pusat Latihan Guru Dalam Perkhidmatan (PLGDP) Temerloh tidak menempatkan pesakit.
“Kapasiti di semua pusat kuarantin sebanyak 511 tempat masih berbaki 330 tempat atau 65 peratus lagi iaitu berkurang tujuh peratus berbanding semalam,” katanya.
Tambah beliau lagi, daripada keseluruhan 922 individu yang ditempatkan di PKRC dan Pusat Kuarantin ini, 881 orang daripadanya merupakan warganegara dan bakinya 41 orang adalah bukan warganegara. -PAHANGMEDIA