Ketua Unit Hal Ehwal Orang Asli Pejabat Menteri Besar Pahang, YH. Dato’ Muhammad Olian Abdullah.

KERAJAAN PAHANG AMBIL BERAT VAKSINASI MASYARAKAT ORANG ASLI

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUALA LIPIS, 10 JUN 2021 : Usaha membantu masyarakat Orang Asli di Negeri Pahang mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 merupakan isu penting kepada Kerajaan Negeri apabila kerajaan telah melaksanakan Kempen Orang Asli Sokong Imunisasi Covid-19 (OAPSIC19) sejak 11 April lalu.

Usaha berterusan itu telah digerakkan oleh pelbagai pihak terutama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Pahang bagi memastikan setiap masyarakat itu memahami kepentingan vaksin COVID-19 seterusnya mendaftar sebagai penerima.

Ketua Unit Hal Ehwal Orang Asli Pejabat Menteri Besar Pahang, YH. Dato’ Muhammad Olian Abdullah berkata, kerajaan melakukan pelbagai usaha supaya masyarakat Orang Asli ini dapat menerima vaksin sebagaimana masyarakat lain di negeri ini.

“Kerajaan Pahang tidak pernah meminggirkan atau pun memandang remeh terhadap isu pemvaksinan masyarakat Orang Asli ini sebaliknya mengambil serius terhadap pemberian vaksin ini di samping penyampaian maklumat yang tepat kepada mereka supaya tidak berlaku salah faham dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas bertemu dengan masyarakat Orang Asli di Kampung Kuala Koyan, di kawasan Dewan Negeri Jelai, di sini, semalam.

Beliau meminta agar golongan antivaksin atau pihak yang tidak bertanggungjawab dapat menghentikan penyebaran maklumat palsu serta tidak benar kepada masyarakat Orang Asli yang boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham terhadap usaha pemvaksinan golongan terbabit.

Jelasnya, usaha kerajaan masih diteruskan dan sehingga kini lebih 3,437 masyarakat Orang Asli yang berusia 18 tahun ke atas telah bersetuju untuk divaksin.

Pahang merupakan negeri paling ramai masyarakat Orang Asli dengan jumlah berusia 18 tahun ke atas adalah seramai 54,173 orang. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download