KUANTAN, 9 JUN 2021: Pahang mencatatkan peningkatan nilai perdagangan ketiga tertinggi di Malaysia iaitu kira-kira RM3.5 bilion pada 2020, sepertimana laporan terkini oleh Jabatan Perangkaan Malaysia yang diumumkan semalam.
Pencapaian ini adalah disebalik prestasi perdagangan Malaysia secara keseluruhannya menurun 3.6 peratus, bernilai RM1.78 trillion pada tahun 2020 berbanding RM1.84 trillion pada tahun 2019.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencapaian Pahang sudah pasti susulan perancangan dasar dan inisiatif pelaburan aktif oleh Kerajaan Negeri yang diperkenal dan dilaksanakan sejak 2018.
“Dilaporkan bahawa, tiga produk perdagangan eksport utama negeri Pahang pada tahun 2020 ialah besi dan keluli, bernilai RM10.49 bilion (36.4 peratus); Oleochemical (palm based ), RM1.97 bilion (6.9 peratus); serta, minyak sawit, RM984 juta (3.4 peratus).
“Bagi import pula, tiga produk utama ialah refined petroleum, RM1.31 bilion (13.3 peratus); barangan pembinaan besi dan keluli, RM576 juta (4.2 peratus); serta produk lain berasaskan besi dan keluli, RM436 juta (3.2 peratus).
“Sungguhpun pelbagai cabaran dihadapi oleh kesemua sektor ekonomi di Malaysia, Kerajaan Negeri tetap komited dalam usaha untuk memastikan perdagangan dalam negeri berada dalam keadaan stabil dan progresif,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya hari ini.
Beliau berkata, antara usaha itu ialah penubuhan pusat sehenti di Kawasan Perindustrian Gebeng bagi memudah cara lalu menyegerakan proses kemasukan pelaburan ke negeri ini.
“Oleh itu, pada suku pertama tahun 2020 (Januari hingga Mac), Kerajaan Negeri berjaya membawa masuk pelaburan bernilai RM91 juta.
“Kita juga berjaya menarik pelaburan bernilai RM1.21 bilion dari Thailand, yang bukan sahaja memberi manfaat kepada sosio-ekonomi negeri, tetapi juga kepada aspek pertukaran teknologi dalam bidang pertanian dan bio-teknologi,” katanya.
Jelasnya lagi, melalui Majlis Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) pula, Kerajaan Pahang berjaya menerima pelaburan RM9.38 bilion yang terhasil daripada 40 projek.
“Angka-angka positif yang dilaporkan ini ialah penanda aras bahawa ekonomi negeri Pahang berada dalam keadaan sihat dan berfungsi secara optimum.
“Kita harus terus membentuk ekosistem pembangunan ekonomi bersifat holistik dan ‘rakyat-centric’, bagi memastikan manfaatnya dapat terus dirasai oleh setiap anak negeri,” katanya. – PAHANGMEDIA