Gambar hiasan

JAKOA GIAT LAKSANA KEMPEN TARIK ORANG ASLI DAFTAR VAKSIN COVID-19

Oleh : Shazli Sufi Che Unik

KUANTAN, 9 JUN 2021: Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA) Pahang sedang giat melaksanakan kempen bagi menarik lebih ramai masyarakat Orang Asli di negeri ini mendaftar untuk menerima vaksin COVID-19.

Pengarah JAKOA Pahang, Encik Johari Alwi berkata, antaranya adalah melaksanakan Kempen Orang Asli Pahang Sokong Imunisasi COVID-19 (OAPSIC-19) yang bertujuan membantu memberikan taklimat penjelasan mengenai vaksinasi di perkampungan Orang Asli.

“Selain itu kempen tersebut turut berperanan membantu pendaftaran Orang Asli untuk program vaksinasi disamping memberikan khidmat nasihat kepada kepimpinan kampung mengenai vaksin dan berperanan mengawal penularan virus COVID-19 ke dalam kampung Orang Asli.

“Kempen tersebut akan turut membuat promosi vaksinasi melalui media sosial, cetak dan digital supaya tahap kesedaran akan kepentingan pengambilan vaksin dalam kalangan Orang Asli dapat ditingkatkan,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, laporan yang diterima, sebanyak 14,057 borang persetujuan vaksin telah diedarkan ke perkampungan Orang Asli.

“Daripada jumlah itu, seramai 3,437 orang telah setuju untuk divaksin manakala 112 orang telah menerima vaksin dos pertama dan 93 orang telah lengkap menerima dos kedua vaksin.

“Seramai 3,628 orang tidak setuju untuk divaksin, diharapkan kempen yang dijalankan akan dapat meningkatkan lagi tahap penerimaan vaksin dalam kalangan Orang Asli,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download