COVID-19 : KLUSTER BAHARU AKIBAT RENTAS NEGERI, 39 POSITIF

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 08 JUN 2021: Satu kluster baharu dengan 39 kes positif COVID-19 dilaporkan hari ini di negeri ini disebabkan pergerakan rentas negeri untuk menziarahi ahli keluarga yang sakit.

Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah dalam satu kenyataan media berkata, kluster itu dikenali sebagai Kluster Rantau Kenanga melibatkan Negeri Pahang dan Perak.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr Haji Bahari Dato’ Tok Muda Haji Che Awang Ngah

“Kluster Rantau Kenanga mula dilaporkan pada 8 Jun 2021 melibatkan daerah Maran, Bera dan Hilir Perak di Perak yang melibatkan pergerakan rentas negeri. Nama kluster ini merujuk kepada lokaliti tempat yang dilawati oleh kes indeks iaitu di FELDA Kenanga Jengka 7, Maran di mana disyaki telah berlakunya penularan wabak di situ.

“Kes indeks bagi kluster ini merupakan kes yang telah didaftarkan di negeri Perak, seorang warganegara Malaysia yang tinggal di Perak. Pada tarikh 24 Mei 2021, kes indeks bersama ahli keluarga telah datang berkunjung ke FELDA Kenanga 7 untuk menziarahi ahli keluarga yang sakit di mana telah berlaku pertemuan melibatkan empat keluarga semasa berada di lokaliti tersebut.

“Pada 28 Mei 2021, kes mula mengalami gejala demam, sakit kepala dan lemah badan dan kes telah menjalani saringan COVID-19 pada 2 Jun 2021. Kes disahkan positif pada 4 Jun 2021. Seramai 69 individu telah disaring dalam kluster ini dan 39 kes dikesan positif COVID-19,” katanya.

Beliau berkata, satu lagi kluster baharu yang dilaporkan hari ini iaitu Kluster Jalan Sri Jaafar melibatkan kluster tempat kerja yang merekodkan 32 positif COVID-19.

“Kluster Jalan Sri Jaafar mula dilaporkan pada 24 Mei 2021 di Daerah Bentong. Nama kluster ini merujuk kepada lokaliti tempat kerja kontak rapat kes indeks yang mana disyaki telah berlakunya penularan wabak ketika kontak rapat generasi pertama kes indeks tersebut berada di situ.

“Kes indeks bagi kluster ini merupakan seorang Warganegara Malaysia yang tinggal di Taman Bentong Makmur. Kes adalah seorang pelajar di sebuah institusi pendidikan di Kedah. Kes pulang bercuti ke Bentong pada 3 Mei 2021. Kes mula mengalami gejala demam pada 18 Mei 2021 dan telah menjalani saringan pada 20 Mei 2021 dan disahkan positif pada 24 Mei 2021.

“Siasatan lanjut mendapati kes sering menghabiskan masa bersama tujuh orang rakan rapat sejak pulang ke Bentong sehingga 15 Mei 2021. Empat orang dari tujuh orang rakan tersebut telah disahkan positif COVID-19 dan salah seorang dari yang positif tersebut bekerja di sebuah jabatan dan disyaki menyebabkan penularan COVID-19 ini berlaku di tempat kerja. Seramai 155 individu telah disaring dan 32 dikesan positif COVID-19,” katanya.

Sebanyak 157 kes baharu telah dilaporkan pada hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di Negeri Pahang telah mencecah ke angka 10,982 kes. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download