Kakitangan Majlis Daerah Lipis (MDL) turun padang membuat pendaftaran dari rumah ke rumah bagi membantu orang ramai terutamanya warga emas di daerah ini mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19.

MDL BANTU DAFTAR VAKSIN COVID-19 DARI RUMAH KE RUMAH

Oleh : Shazli Sufi Che Unik

KUANTAN, 5 JUN 2021: Majlis Daerah Lipis (MDL) mengambil inisiatif turun padang membuat pendaftaran dari rumah ke rumah bagi membantu orang ramai terutamanya warga emas di daerah ini mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19.

Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Lipis, Puan Saharini Haji Omar berkata, inisatif ini dibuat bagi memastikan seluruh masyarakat di dalam Daerah Lipis mendaftar untuk menerima vaksin COVID-19.

Kakitangan Majlis Daerah Lipis (MDL) turun padang membuat pendaftaran dari rumah ke rumah bagi membantu orang ramai terutamanya warga emas di daerah ini mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19.

“MDL telah membentuk pasukan untuk turun dari rumah ke rumah bagi membantu memudahkan pendaftaran vaksin secara manual.

“Inisiatif ini dibuat melihat kepada pendaftaran yang dibuat di MDL sebelum ini kurang mendapat sambutan, maka inisatif ini dibuat bagi memastikan seluruh masyarakat di dalam Daerah Lipis mendaftar menerima vaksin COVID-19.

“Pelaksanaan pada awalnya tertumpu kepada pendaftaran di MDL, akan tetapi kehadiran adalah kurang memuaskan kerana kebanyakan mereka yang hadir adalah untuk membayar cukai dan terdapat mereka yang tidak hadir kerana telah membayar cukai secara online,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.

Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Lipis, Puan Saharini Haji Omar

Beliau berkata, selain itu, terdapat juga pelaksanaan lain yang dibuat seperti dibuka gerai di pasar sehari untuk meningkatkan lagi pendaftaran, tetapi ia tidak menyeluruh ditambahkan lagi dengan beberapa kawasan di Daerah Lipis telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).”

“Satu ‘link’ juga turut diwujudkan bagi memudahkan pendaftaran dibuat secara atas talian dan melalui maklumbalas daripada ‘link’ tersebut akan memudahkan lagi proses anggota MDL mengenalpasti mereka yang belum mendaftar.

“Penghulu dan ketua kampung juga turut terlibat dalam menjayakan pendaftaran secara manual ini kepada masyarakat agar pendaftaran dapat dibuat dan mencapai sasaran yang ditetapkan,” jelas beliau.

Katanya lagi, dianggarkan seramai 40,0000 yang belum mendaftar untuk menerima vaksin di daerah ini dan keutamaan petugas MDL setakat ini adalah untuk mengenalpasti individu tersebut untuk didaftarkan.

Kakitangan Majlis Daerah Lipis (MDL) turun padang membuat pendaftaran dari rumah ke rumah bagi membantu orang ramai terutamanya warga emas di daerah ini mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19.

Beliau berharap dengan perlaksanaan pendaftaran dari rumah ke rumah ini dapat meningkatkan lagi jumlah pendaftaran Vaksin di daerah Lipis.

“Ini kerana semakin tinggi jumlah pendaftaran penerima vaksin di sesebuah kawasan akan memudahkan Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) dibuka kelak,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download