Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) COVID-19 Secara Bersasar Kerajaan Negeri Pahang ini diberikan kepada penjaja-penjaja dan peniaga kecil di Daerah Kuantan.
2,448 PENJAJA DAN PENIAGA KECIL TERIMA BANTUAN PRIHATIN PAHANG
Oleh: Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 04 JUN 2021: Kerajaan Pahang memperuntukkan kira-kira RM250,000 bagi bantuan bersasar kepada 2,488 penjaja dan peniaga kecil di daerah ini.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin berkata, bantuan ini akan diagihkan melalui empat sesi bermula hari ini.
“Bantuan Prihatin Pahang (BPP) COVID-19 Secara Bersasar Kerajaan Negeri Pahang ini diberikan kepada penjaja-penjaja dan peniaga kecil di Daerah Kuantan.
“Mereka ini merupakan peniaga dari zon Beserah, Tanjung Lumpur, Inderapura, Panching, Sungai Lembing dan Lepar yang terjejas pendapatan akibat wabak COVID-19 ini.
‘Mereka yang menerima bantuan ini terdiri daripada mereka yang mempunyai permit bulanan dan tahunan dengan MBK,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.
Menurut beliau lagi, bantuan ini akan diagihkan dalam empat fasa bermula hari ini sehingga 9 Jun depan secara pandu lalu.
“Fasa pertama hari ini kita sampaikan di tiga Dewan Negeri iaitu Beserah, Tanjung Lumpur, dan Inderapura yang bermula pada 9 pagi sehingga 4.30 petang.
“Fasa berikutnya akan dijalankan pada 7 Jun ini melibatkan kawasan Dewan Negeri Teruntum, Panching dan Beserah.
“Fasa tiga pada 8 Jun, melibatkan Dewan Negeri Teruntum dan Sungai Lembing dan fasa terakhir pada 9 Jun melibatkan kawasan Dewan Negeri Lepar,” katanya. -PAHANGMEDIA