Polis sedang membuat pemeriksaan ke atas kenderaan di Daerah Bentong. (Gambar ihsan Facebook Polis Bentong)

PKPD: BENTONG JADIKAN KUANTAN SEBAGAI GARIS PANDUAN

Oleh: Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 04 JUN 2021: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan di Kuantan menjadi garis panduan kepada hampir 75,000 penduduk dan pengoperasian premis di kawasan PKPD di Bentong.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bentong, YH. Dato’ Mohd Zulkifli Hashim, yang juga Pegawai Daerah Bentong berkata, pematuhan penduduk berkenaan Prosedur Operasi Standard (SOP) di kawasan yang dikenakan PKPD di Bentong adalah sangat tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bentong, YH. Dato’ Mohd Zulkifli Hashim.

“Kita berpuas hati dengan penduduk yang dilihat telah sedia maklum dengan mengambil contoh PKPD di tempat lain terutamanya di Kuantan dan dilihat peka dengan pelaksanaan berkenaan di Bentong.

“Premis perniagaan juga telah sedia maklum dengan pelaksanaan ini dengan mencontohi SOP PKPD di Kuantan, malah pihak Majlis Perbandaran Bentong (MPB) juga dah tahu cara untuk bertindak dengan menjadikan pengoperasian Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) sebagai contoh,” katanya kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga telah menutup laluan keluar masuk di empat kawasan di daerah ini bagi mengawal kemasukan orang ramai.

“Bermula malam tadi kita dah tutup empat laluan keluar masuk iaitu di lebuhraya laluan Bentong hala Timur dan Barat, persimpangan Kampung Lebu dan di Sungai Penjuring,” katanya.

Menurut beliau, SOP PKPD di Kampung Baru di sini adalah sedikit berbeza berbanding kawasan lain kerana ia merupakan kawasan panas.

“Ada juga yang bertanya kenapa SOP di Kampung Baru berbeza, lebih ketat daripada kawasan lain yang dikenakan PKPD, ini kerana ia merupakan syor daripada Pusat Kesihatan Daerah (PKD) yang menilai tahap risiko sesuatu kawasan.

“Setakat hari ini, jumlah kes positif bagi Kluater Kampung Baru ini adalah seramai 61 orang dan kampung ini ada 800 penduduk keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata, malam ini pihak PKD akan membuat ujian calitan secara besar-besaran di empat kawasan yang dikenakan PKPD iaitu di Taman Harmoni, Taman Bentong Makmur, Taman Desa Damai dan Taman Kolej.

“Setakat ini kita dapat kerjasama yang sangat baik dari semua pihak, sama ada penduduk sendiri mahupun pihak pengurusan komuniti dan tidak ada kes melarikan diri daripada kawasan PKPD dilaporkan setakat ini,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengikut SOP yang dikeluarkan bagi memastikan penularan wabak COVID-19 dapat diputuskan sepenuhnya.

Sebanyak 14 kawasan sekitar bandar Bentong, dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Ahad ini sehingga 19 Jun berikutan terdapat 209 kes positif COVID-18 dilaporkan di sekitar bandar Bentong. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download