KUANTAN, 4 JUN 2021: Kerajaan Pahang memperuntukkan lagi RM9.3 juta bagi pelaksanaan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) COVID-19 Secara Bersasar Fasa 2, kepada rakyat Pahang terutamanya yang terputus mata pencarian ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dengan peruntukan terbaharu ini, jumlah keseluruhan yang diperuntukkan adalah berjumlah RM17.1 juta bagi pelaksanaan BPP COVID-19 Secara Bersasar di bawah kedua-dua Fasa 1 dan Fasa 2.
“Di bawah Fasa 1 yang saya umumkan 24 Mei lepas, nilai peruntukannya ialah RM7.8 juta, ada yang telah pun diagih-agihkan manakala bagi golongan miskin tegar, orang kelainan upaya (OKU), dan warga emas melebihi 80 tahun yang juga penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), akan diagihkan bermula minggu depan,” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.

Beliau juga berkata, peruntukan besar yang Kerajaan Pahang sediakan ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri ke atas kemaslahatan rakyat dalam menghadapi tempoh sukar sekarang.
Menurut beliau, peruntukan ini disediakan berdasarkan kemampuan kewangan Kerajaan Pahang ketika ini.
“Sepertimana inisiatif-inisiatif bantuan yang Kerajaan Negeri berikan sebelum ini, BPP COVID-19 Secara Bersasar Fasa 2 ini, masih dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan menerusi penyerahan bakul makanan.
“Bak kata orang tua-tua ‘Sedikit tanda ingat, banyak tanda ada’. Begitulah juga saya harapkan pemahaman oleh para penerima kepada bantuan dan sumbangan yang diberi menerusi peruntukan ini,” katanya.
Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, antara golongan yang akan memanfaatkannya di bawah Fasa 2 ini ialah pengusaha bot dan pemandu pelancong, operator kantin harian sekolah dan pekerjanya, penyedia perkhidmatan penghantaran, pemandu e-hailing, serta sukarelawan di Pusat-pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Beliau juga berkata, sumbangan ini turut meliputi masyarakat Orang Asli menerusi Batin mereka, serta penduduk di bawah Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK), Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Rancangan (JKKR) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung Baharu (JKKB), ahli-ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) dan Persatuan Bekas Polis Malaysia serta para penggiat seni.
“Saya telah meminta agar pengagihan sebenar BPP COVID-19 Secara Bersasar Fasa 2 ini dapat dilaksanakan sesegera mungkin agar bakal-bakal penerima dapat memanfaatkannya dalam kadar segera,’ katanya.-PAHANGMEDIA