PKP : 497 KENDERAAN DIARAH BERPATAH BALIK DI TEMERLOH

Oleh : Ain Nadhirah Basha

TEMERLOH, 03 JUN 2021 : Sebanyak 479 kenderaan telah diarahkan berpatah balik di tujuh sekatan jalan raya (SJR) setakat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata jumlah kenderaan diarahkan berpatah semula ini kemudiannya telah menurun berbanding peringkat awal PKP dilaksanakan.

“Kebanyakan kenderaan yang kita arahkan untuk berpatah balik adalah sebagai peringatan mesra dan nasihat dalam tempoh awal PKP.

“Antara sebab-sebab kita arahkan mereka berpatah balik adalah kerana tiada alasan kukuh untuk masuk ke kawasan bandar. Ada di antara mereka yang cuba mendapatkan barang keperluan jauh dari kediaman sedangkan ia boleh diperolehi di kedai di kawasan kediaman sahaja.

“Selain itu, kita juga mengarahkan mereka yang menaiki lebih daripada dua orang di dalam kenderaan untuk berpatah balik kerana melanggar SOP yang ditetapkan.

“Namun begitu, kebanyakan yang diarahkan berpatah balik adalah pada peringkat awal sahaja iaitu semasa kami mengamalkan nasihat dan peringatan mesra. Selepas daripada itu, kita dapati tahap kepatuhan dah tinggi, jadi statistik yang berpatah balik juga telah menurun,” katanya kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini, hari ini.

Beliau berkata lapan individu telah dikompaun setakat 1 Jun sehingga hari ini yang masuk hari ketiga pelaksanaan PKP di daerah ini.

“Jumlah kompaun dari 1 Jun hingga 3 Jun, adalah lapan individu melibatkan kesalahan tidak memakai pelitup muka (enam individu), dan tidak mengimbas QR kod MySejahtera (dua individu),” katanya.

Tambah beliau lagi, sebanyak tujuh SJR telah didirikan melibatkan 108 petugas terdiri daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), RELA, dah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berada di dalam rumah dan menghadkan pergerakan keluar sekiranya tiada urusan penting.-PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download