Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
MARAN, 3 JUN 2021: Peratusan kehadiran penerima vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini bertambah baik apabila orang ramai mulai sedar tentang manfaat suntikan vaksin.
Ketua PPV Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah Maran, Dr. Farizahanim Zainal Ariffin berkata, kadar ketidakhadiran penerima vaksin sebelum ini adalah tinggi dan keadaan ini membimbangkan kerana akan menyebabkan pembaziran vaksin.

“Jika sebelum ini, kadar ketidakhadiran adalah tinggi dan keadaan ini akan menyebabkan pembaziran kerana jumlah vaksin yang dibekalkan kepada setiap PPV bergantung kepada jumlah penerima yang tersenarai dan telah menerima temujanji.
“Apabila penerima yang telah mendapat temujanji gagal untuk hadir, maka vaksin tersebut perlu juga dihabiskan dengan kadar segera kerana ia akan rosak apabila telah dikeluarkan daripada penyimpanan sekali gus menyebabkan pembaziran,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, seramai 192 penerima suntikan vaksin dijadualkan menerima suntikan pada hari ini di PPV Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Maran.

Sementara itu, beberapa penerima yang ditemui berasa lega selepas menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19, hari ini.
En. Abdul Rahim Awang Ngah, 71, bersama isterinya, Puan Zaleha Abd Jalil, 61, bersyukur kerana telah mendapat suntikan dos pertama dan tidak berhadapan sebarang masalah selepas menerima suntikan vaksin tersebut.
Justeru, beliau mengajak orang ramai khususnya penduduk di Pahang supaya mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19.

“Saya menyeru kepada rakyat supaya datang terutama warga emas untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 dan jangan mempercayai dakyah-dakyah yang tidak berfaedah, saya berharap warga Pahang datanglah untuk menerima suntikan vaksin,” katanya.
Puan Zaleha sendiri menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis berasa perlu menerima suntikan vaksin kerana menyedari risiko yang lebih besar jika dia tidak menerima vaksin.
“Saya menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis tetapi selepas menerima suntikan, tidak menghadapi sebarang masalah,” katanya.
Seorang lagi penerima iaitu Puan Nik Mas Nik Pa, 85, tidak langsung berasa takut untuk menerima suntikan dan berasa lega selepas disuntik tanpa merasa sebarang kesan sampingan selepas suntikan. – PAHANGMEDIA