TABUNG PAHANG4PALESTINE KUTIP RM505,322

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 30 MEI 2021: Tabung Kemanusiaan Palestin yang dilancarkan Kerajaan Pahang pada 21 Mei bertujuan untuk membantu meringankan beban rakyat Palestin yang menjadi mangsa keganasan telah berjaya mengumpul sebanyak RM505,322 setakat hari ini.

Tabung yang dinamakan PAHANG4PALESTINE ini dinaungi oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Timbalan Pengerusi 2 tabung ini yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin berkata, tabung ini adalah tanda solidariti rakyat Pahang dalam membantu penduduk Palestin yang menderita.

“Tabung ini ditubuhkan oleh Kerajaan Pahang dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) dan PahangGO dan dipantauselia oleh jawatankuasa induk yang terdiri daripada pucuk pimpinan Kerajaan Negeri Pahang sendiri setelah diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK) pada 19 Mei lalu.

“Tabung ini dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan Timbalan Pengerusi 1 adalah YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang dan akan ditutup pada 31 Ogos ini,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP).

Menurut beliau lagi, Kerajaan Pahang juga bersetuju menanggung caj institusi kewangan sebanyak RM0.50 bagi setiap transaksi yang dilakukan.

“Orang ramai yang ingin melakukan sumbangan boleh melayari laman web pahang4palestine.com atau melalui aplikasi PahangGO dan jumlah sumbangan adalah serendah RM1.

“Para penyumbang perlu mengisi alamat e-mel bagi tujuan penghantaran resit dan perlu memilih jumlah sumbangan dan kaedah bayaran melibatkan 16 talian perbankan atas talian.

“Sumbangan ini juga boleh dilakukan melalui tabung amanah Kerajaan Pahang iaitu Perbendaharaan Negeri Pahang menggunakan Bank Muamalat Malaysia Berhad di nombor akaun 06010002165711 dengan rujukan PAHANG4PALESTINE, dan sekiranya sumbangan dilakukan menggunakan cek, cek hendaklah ditulis atas nama Pegawai Kewangan Negeri Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download