Gambar hiasan

PKPD KUANTAN: MASIH ADA YANG BERDEGIL TIDAK PATUHI SOP TERMASUK REMAJA MEREMPIT

Oleh : Shazli Sufi Che Unik

KUANTAN, 27 MEI 2021: Masih terdapat segelintir masyarakat yang masih berdegil dan sengaja tidak mahu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) terutamanya golongan remaja yang melakukan kegiatan merempit.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Tuan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, tindakan ini bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi turut membahayakan nyawa.

“Sewajarnya ibu bapa perlu bertanggungjawab akan keberadaan anak remaja mereka dan tidak sewenang-wenangnya memberikan mereka kebebasan untuk menunggang motosikal tanpa pengawasan,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohamad Noor Yusof Ali.

Justeru beliau berharap ibu bapa atau penjaga memantau aktiviti remaja agar tidak terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat seperti merempit sepanjang PKPD dilaksanakan di Kuantan.

Sementara itu, beliau berkata, sejak PKPD dilaksanakan di Kuantan, kepatuhan orang awam dilihat baik dan memuaskan iaitu pada kadar 98 peratus.

“Semenjak 24 Mei yang lalu juga, sebanyak 40 kompaun telah dikeluarkan dibawah 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

“Kesalahan yang dikompaun melibatkan kegagalan memakai pelitup muka, tidak mengunakan aplikasi MySejahtera, tidak mematuhi penjarakan fizikal serta jumlah yang menaiki kenderaan adalah melebihi had bilangan yang dibenarkan,” katanya.

Jelas beliau lagi, bagi kawalan sempadan daerah pula dilihat terkawal dengan penutupan laluan tikus hasil kerjasama antara polis daerah Kuantan dan Kemaman. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download