30 INDIVIDU, ENAM PREMIS DIKOMPAUN INGKAR ARAHAN PKP DI PAHANG
Oleh: Fansurina Abdullah
KUANTAN, 27 MEI 2021: Seramai 30 individu dan enam premis dikenakan kompaun atas kesalahan melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negeri ini, semalam.
Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Sri Abd Jalil Hassan berkata, sehingga kini, sebanyak 3,304 pemantauan telah dibuat dengan kawalan sempadan daerah dan negeri diperketatkan.
“Penugasan Tim Pemantau Pematuhan juga telah ditingkatkan selain tindakan kompaun kepada mereka yang tidak mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Sri Abd Jalil Hassan.
“Bilangan pasukan pemantau adalah sebanyak 137 pasukan dengan pemantauan dibuat melibatkan kawasan premis seperti kilang, bank, terminal kenderaan awam, pasar awam, tempat ibadah, tempat riadah dan kawasan tapak pembinaan,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), hari ini.
Jelas beliau lagi, sebanyak 46 sekatan jalan raya (SJR) telah dilaksanakan dengan melibatkan seramai 812 pegawai dan anggota penguatkuasa.
“Polis turut menerima sebanyak 1,788 borang permit pergerakan harian dengan 1,700 daripadanya diberikan kelulusan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya patuh kepada SOP dan kekal berada di rumah masing-masing dengan menghadkan pergerakan keluar sekiranya tiada keperluan bagi memutuskan rantaian pandemik COVID-19 yang semakin menular setiap hari. – PAHANGMEDIA