Ahli Dewan Negeri (ADN) Chini, YB Encik Mohd Sharim Md Zain menyampaikan sumbangan kepada keluarga di Chini yang dikuarantin berikutan penularan wabak COVID-19.
62 KELUARGA DIKUARANTIN DI CHINI TERIMA SUMBANGAN KERAJAAN PAHANG
Oleh: Mahathir Ali
PEKAN, 27 Mei 2021: Seramai 62 keluarga di Chini yang dikuarantin berikutan penularan wabak COVID-19 menarik nafas lega dan bersyukur kerana Kerajaan Pahang terus menghantar bantuan bagi meringankan beban mereka sekeluarga.
Sumbangan ini disampaikan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Chini, YB Encik Mohd Sharim Md Zain kepada keluarga yang terlibat secara berperingkat berpandukan senarai nama yang dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan.
Menurut YB Encik Mohd Sharim, sebagai wakil rakyat beliau sedaya upaya akan melakukan yang terbaik menghulurkan bantuan kepada golongan yang terjejas terutamanya mereka yang terpaksa dikuarantin bagi mengelak penularan wabak COVID-19 ketika ini.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Chini, YB Encik Mohd Sharim Md Zain menyampaikan sumbangan kepada keluarga di Chini yang dikuarantin berikutan penularan wabak COVID-19.
“Selaku wakil rakyat yang baharu, saya bersyukur kerana Kerajaan Pahang sentiasa bertindak pantas membela nasib rakyat.
“Malah YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail sendiri sentiasa mengambil berat mengingatkan semua wakil-wakil rakyat dan kepimpinan di negeri ini untuk segera turun padang membantu rakyat,” katanya kepada Unit Komunikasi Dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.
Beliau berkata, pejabat Khidmat DUN Chini turut bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) terutamanya dari persatuan belia dan kebajikan yang banyak membantu bukan hanya dalam urusan agihan bantuan makanan malah berkenaan rawatan perubatan penduduk yang dikuarantin juga diberi perhatian.
Sementera itu, semalam beliau sekali lagi turun padang menyampaikan bantuan kepada penduduk yang dikuarantin di Kampung Sepaku, Kampung Meragih dan Kuala Mentiga di sini.
Bantuan sedang diagikan secara berperingkat berpandukan senarai nama yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Daerah Pekan. – PAHANGMEDIA