KUANTAN, 25 MEI 2021: Penguatkuasaan dengan kawalan yang ketat akan dilaksanakan di tiga mukim di Daerah Lipis iaitu Mukim Kuala Lipis, Mukim Penjom dan Mukim Budu yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula pada jam 12.01 tengah malam ini.
Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Lipis, YH Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim, pihaknya kini telah bersedia menghadapi PKP di tiga mukim berkenaan.
Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Lipis, YH Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.
Beliau menegaskan jangkitan pada kali ini agak membimbangkan apabila kadar kecepatan jangkitan sangat cepat merebak apabila turut melibatkan beberapa taman perumahan yang dikenakan PKPD dengan kawalan ketat.
“Kebanyakan penduduk di Daerah Lipis patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) menerusi perlaksanaan PKP yang dilaksanakan di seluruh negara dan pada 12.01 tengah malam ini pula, Mukim Kuala Lipis, Mukim Penjom dan Mukim Budu pula akan dikenakan PKPD di mana segala perlaksanaan SOP dan kawalan keselamatan akan lebih ketat dan tegas.
“Jadi saya berharap agar semua penduduk dari tiga mukim tersebut dapat patuh kepada arahan kerajaan selain menitikberatkan SOP yang telah dimaklumkan menerusi laman Facebook Majlis Daerah Lipis.
“Jadi penduduk di daerah ini boleh mendapatkan maklumat terkini berhubung perkembangan PKP dan PKPD di daerah ini menerusi facebook tersebut,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), hari ini.
Katanya, beberapa SOP am bagi PKPD telah ditetapkan termasuklah senarai premis perniagaan yang dibenarkan beroperasi di kawasan PKPD yang melibatkan sektor Perkhidmatan Perlu (Essential Services), waktu pengoperasian premis terbabit mengikut jenis perniagaan dan perkhidmatan yang ditawarkan serta kawalan pergerakan keluar-masuk di kawasan PKPD.
“Semua urusan keluar-masuk di kawasan PKPD perlu mendapat kebenaran daripada pihak polis selain kawalan ketat menerusi rondaan dan sekatan jalan raya (SJR) yang diadakan di kawasan terpilih bagi memastikan tiada pelanggaran SOP dan arahan oleh penduduk.
“Saya berharap semua penduduk yang terlibat dengan PKP dan PKPD dapat patuh kepada SOP dan kekal di rumah sekiranya tiada sebarang urusan di luar,” katanya. – PAHANGMEDIA