KUANTAN, 24 MEI 2021: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Elaun Diraja selama empat bulan kepada Tabung COVID-19 Pahang.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato ‘ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata, baginda berkenan supaya elaun itu disumbangkan ke Tabung COVID-19 Pahang yang diwujudkan oleh Kerajaan Negeri.

“Patik hamba tua dan rakyat-jelata Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku menyanjung tinggi kurniaan ini, yang akan digunakan sewajarnya demi menangani apa juga kemaslahatan berkaitan wabak pandemik ini,” katanya dalam satu hantaran di laman sosial Facebook hari ini.
Setakat jam 12.00 tengah hari semalam, sebanyak 263 kes baru telah dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di Negeri Pahang adalah sebanyak 7,772 kes.
Terdapat 167 kes sembuh harian dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh sebanyak 6,430 kes manakala jumlah kematian adalah 47 kes. – PAHANGMEDIA