Gambar hiasan

PKPD KUANTAN: SEORANG WAKIL KELUARGA SAJA DIBENARKAN KELUAR RUMAH

Oleh : Shazli Sufi Che Unik

KUANTAN, 23 MEI 2021: Hanya seorang wakil atau ketua keluarga dibenarkan keluar dari rumah dalam radius 10 kilometer sekiranya ada keperluan untuk membeli barangan keperluan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Daerah Kuantan yang bermula esok.

Perkara itu ditegaskan oleh Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pahang, Encik Zairasyahli Syah Zakaria ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pahang, YBhg. Encik Zairasyahli Shah Zakaria

Beliau berkata, sekiranya tiada pasaraya atau kedai runcit dalam sekitar radius 10 kilometer, mereka dibenarkan ke kedai yang paling berhampiran dengan kawasan tempat tinggal.

Jelas beliau lagi, bagi tujuan kesihatan atau vaksinasi pula adalah dibenarkan dengan terhad kepada dua orang sahaja dalam satu kenderaan dengan mematuhi SOP PKPD yang telah ditetapkan oleh MKN.

“Ini adalah salah satu SOP yang ditetapkan dalam pelaksanaan PKPD Kuantan ini yang adalah bertujuan untuk memutuskan rantaian jangkitan dengan memastikan masyarakat tidak keluar rumah melainkan dengan tujuan yang dibenarkan sahaja,” katanya.

Sehubungan itu beliau berkata, pelaksanaan PKPD di Daerah bermula esok sehingga 7 Jun ini akan disambung sekiranya kes jangkitan semakin meningkat.

“Sekiranya kes jangkitan semakin menurun, maka PKPD akan ditamatkan mengikut jadual yang ditetapkan dan akan mengikuti SOP PKP yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Kerjasama daripada semua pihak amat diharapkan bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, bagi sektor ekonomi, peniaga perlu meneliti senarai Perkhidmatan Perlu (Essential Services) yang telah disenaraikan oleh MKN dan perlu memohon di laman web yang akan diumumkan hari ini.

“Ini bagi menentukan sama ada pernigaan tersebut termasuk dalam senarai yang dibenarkan beroperasi ataupun tidak. Sekiranya permohonan diluluskan, satu Kod QR akan diberikan bagi memudahkan pemeriksaan dilakukan oleh pihak berkuasa .

“Perniagaan yang sudah mendapat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga perlu membuat permohonan di laman sesawang tersebut,” jelasnya.

Beliau juga berharap agar masyarakat peka dan benar-benar memahami SOP PKPD yang telah dikeluarkan oleh pihak MKN agar rantaian jangkitan dapat diputuskan. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download