Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 22 MEI 2021 : Pihak polis mengambil kaedah menggunakan pendekatan psikologi dalam menyantuni penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, ini kerana pihaknya faham dan simpati dengan keadaan penduduk di kawasan berkenaan.
“Kita maklumkan supaya anggota polis yang membuat rondaan menggunakan kenderaan peronda untuk membuat pengumuman, meminta penduduk supaya bersabar, kita doakan supaya semua dalam keadaan baik.
“Itu antara perkara yang kita lakukan kerana dari segi psikologinya, kita faham keberatan tanggungan yang dihadapi oleh mangsa. Kita sangat faham.
“Kita mengambil kaedah pendekatan menyantuni hati mangsa-mangsa ini, kerana kita simpati dan kita berharap dengan langkah-langkah yang kita lakukan ini, mereka faham tugas kita, dan masa yang sama kita bersimpati pada mangsa ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa Program Sanitasi seluruh kawasan PKPD di Tanah Putih dan PKPD Seri Kemunting, di Seri Kemunting, hari ini.
Menurut beliau lagi, pihaknya yakin berdasarkan segala tindakan dan kerjasama daripada semua pihak, perkembangan di kedua-dua kawasan PKPD dilihat semakin baik.
“Berdasarkan statistik setiap hari,kita membuat pemantauan hasil maklumbalas daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kedua-dua tempat ini yang biasanya berlaku lonjakan result positif, makin hari makin baik.
“Contohnya semalam di Tanah Putih Baru, baru enam sahaja positif yang sebelum ini mencatat 30 kes ke 40 kes sehari dengan yang paling tinggi 138 kes. Jadi di sini (Seri Kemunting) juga semalam baru satu kes, pada saya ia menujukkan ke arah makin lama makin baik,” katanya.
Taman Tanah Putih Baru telah dikenakan PKPD bermula 5 Mei sehingga 18 Mei lepas namun dilanjutkan lagi sehingga 25 Mei ini dan seramai 393 individu telah disahkan positif daripada Kluster Tanah Putih Baru setakat semalam.
Manakala PKPD bagi Seri Kemunting pula bermula pada 17 Mei lepas sehingga 30 Mei ini dengan seramai 36 individu telah disahkan positif daripada Kluster Kemunting ini. -PAHANGMEDIA