Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato' seri Abd Jalil Hassan

22 INDIVIDU DIKOMPAUN RM33,500 LANGGAR SOP PKP DI PAHANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 19 MEI 2021 : Seramai 22 individu dikenakan tindakan kompaun berjumlah RM33,500 di seluruh negeri ini kerana melanggar arahan di bawah Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setakat semalam.

Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Sri Abd Jalil Hassan berkata ini termasuklah seorang lelaki berusia 51 tahun yang keluar melakukan urusan walaupun memakai gelang kuarantin.

“Setakat ini kita telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,500 seorang kepada 21 individu atas kesalahan tidak memakai face mask iaitu 16 orang dalam lingkungan umur 20 tahun hingga 40 tahun di Maran, dan lima orang lagi berusia 18 tahun hingga 65 tahun di Temerloh.

“Manakala seorang lagi di Jerantut, dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 diatas kesalahan keluar tanpa alasan munasabah iaitu memakai gelang kuarantin dan alasan yang dia berikan untuk keluar, adalah dia datang untuk membuat beberapa soalan berkaitan tanah kepada pihak pejabat tanah,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), hari ini.

Beliau berkata kesemua mereka dikenakan tindakan dibawah Peraturan 25(a) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Menurut beliau lagi, setakat ini tiada kompaun dikeluarkan bagi penguatkuasaan pematuhan SOP di pejabat kerajaan di negeri ini.

“Setakat ini Pendekatan Amaran Mesra digunakan dan tindakan kompaun akan diambil jika kita dapati mereka masih ingkar,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi perintah yang dikeluarkan oleh Kerajaan dan mematuhi SOP yang dilaksanakan demi kebaikan bersama semua pihak. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds