WARNA BENDERA PALESTIN MENYINARI MENARA KUANTAN 188
Oleh : Shazli Sufi Che Unik
KUANTAN, 17 Mei 2021: Sejak semalam warna bendera Palestin mula menyinari Menara Kuantan 188 di sini sebagai tanda solidariti terhadap rakyat negara itu yang kini sedang hebat digempur oleh tentera pengganas Israel.
Pegawai Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Puan Norkamawati Kamal berkata, tujuan pencahayaan ini adalah sebagai tanda sokongan rakyat Pahang khususnya terhadap rakyat Palestin memandangkan Menara Kuantan 188 merupakan mercu tanda kebanggaan Negeri Pahang.
Foto MBK
“Pada awalnya pihak Majlis Bandaraya Kuantan ada merancang aktiviti lain tetapi disebabkan kes jangkitan COVID-19 yang semakin meningkat maka idea menyinari Menara Kuantan 188 dengan warna bendera Palestin (hijau, merah, putih dan hitam) menjadi pilihan,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.
Beliau berkata, idea menyinari Menara Kuantan 188 dengan warna bendera Palestin adalah cetusan idea daripada Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Kuantan, YH. Dato’ Hamdan Hussin sendiri.
“Majlis Bandaraya Kuantan akan terus menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin melalui info terkini di media sosial. Diharapkan rakyat Pahang seluruhnya mendoakan keselamatan rakyat Palestin,” katanya. – PAHANGMEDIA