Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 15 MEI 2021: Seramai 16 individu dikenakan kompaun sebanyak RM35,000 kerana melanggar pelbagai arahan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di dalam Daerah Kuantan sepanjang hari ini dan semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kesemua mereka dikenakan tindakan kompaun kerana melanggar tiga SOP PKP yang ditetapkan.
”Seramai 10 individu berusia 30 tahun hingga 22 tahun dikompaun sebanyak RM2,000 setiap seorang kerana didapati berkumpul dan makan di kawasan rekreasi Teluk Chempedak hari ini.
“Lima lelaki berusia 24 tahun hingga 22 tahun kesemuanya dari Taman Seri Inderapura pula dikenakan tindakan kompaun juga sebanyak RM2,000 setiap seorang pada petang semalam kerana menaiki kenderaan melebihi tiga orang seperti yang dibenarkan.
“Kesemua Orang Kena Kompaun (OKK) didapati telah melakukan kesalahan dibawah Peraturan 25(a) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.
Menurut beliau lagi, pihaknya juga telah mengeluarkan satu kompaun sebanyak RM5,000 kerana kesalahan melanggar permit rentas negeri petang semalam.
“Kita mengeluarkan kompaun tersebut kepada seorang lelaki berusia 36 tahun yang beralamat di Kemaman kerana menggunakan permit tamat tempoh kebenaran rentas negeri yang sah.
“Kita juga mengarahkan supaya OKK kembali ke tempat asal setelah kompaun dikeluarkan,” katanya.
Tegas beliau, pihak polis tidak akan sesuka hati mengeluarkan kompaun dan ia hanya dikeluarkan sekiranya terdapat pelanggaran SOP PKP oleh orang ramai.
“Kami sebagai penguatkuasaan cuba melaksanakan sebaik mungkin menyampaikan kepada masyarakat, supaya mereka faham dan mematuhi arahan dan kenapa pematuhan SOP ini kena dilakukan sebaik mungkin,” katanya. -PAHANGMEDIA