KUANTAN, 15 MEI 2021: YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berazam untuk untuk terus merencanakan pembangunan negeri dengan sebaik mungkin demi masa hadapan generasi akan datang.
Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, beliau tidak mahu pembangunan di negeri ini diukur secara fizikal sahaja, kerana pembangunan secara holistik perlu dirancang dan dilaksana meliputi aspek ekonomi, sosial, modal insan serta penjagaan alam sekitar.
“Setiap tindakan yang dilaksanakan harus berteraskan elemen-elemen keseimbangan dan setiap sudut kepentingan perlu diambil kira supaya dapat dilaksanakan tanpa keciciran oleh mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Hari ini merupakan tahun ketiga Ahli Dewan Negeri (ADN) Jelai itu dilantik sebagai Menteri Besar Pahang. Beliau mengangkat sumpah sebagai YAB Menteri Besar Pahang yang baharu di Istana Sultan Abu Bakar di Pekan pada 15 Mei 2018.
Katanya lagi, sepanjang tiga tahun ini, beliau melaksanakan pelbagai inisiatif baharu bagi manfaat rakyat Pahang, malah dari sudut kewangan, antaranya adalah peningkatan KDNK Pahang yang bernilai sebanyak RM58.3 billion, pengurangan kadar hutang negeri dari RM 3.22 billion kepada RM931 juta dan kutipan hasil tertinggi dengan nilai RM850.4juta.
“Pahang juga telah menjadi negeri paling aktif dalam melaksanakan pelbagai inisiatif pemuliharaan alam sekitar. Kita telah memulihkan semula sungai-sungai yang tercemar, pertambahan kawasan hutan simpan dan melaksanakan program pemuliharaan yang ekstensif di kawasan-kawasan hutan tadahan hujan.
“Dari segi bantuan rakyat di waktu kecemasan, Kerajaan Pahang juga telah meningkatkan keupayaan jentera pentadbiran negeri dalam pengurusan bencana. Ini termasuk dengan memberikan bantuan segera dan bantuan susulan demi memudahkan mangsa-mangsa bencana.
“Projek-projek pembangunan rakyat seperti perumahan rakyat termiskin, penyediaan peluang-peluang latihan dan pekerjaan, peningkatan kualiti pembinaan fasiliti awam dan sektor perkhidmatan awam turut ditambah baik bagi manfaat semua rakyat Pahang,” jelasnya.
Beliau berkata, walaupun keadaan ekonomi dunia yang sebegitu malap, Pahang tetap unggul dengan keupayaan kita untuk menarik lebih banyak pelaburan dari dalam dan luar negara, sebagai contoh, dalam tempoh tiga tahun ini Pahag telah menerima pelaburan dengan nilai RM1.134 billion dari Singapura dan RM1.12 billion dari Thailand.
“Justeru saya ingin merafak sembah dan menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di atas perkenan baginda untuk melantik saya sebagai peneraju Negeri Pahang Darul Makmur.
“Terima kasih saya ucapkan kepada barisan EXCO Negeri Pahang, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, Barisan Nasional Pahang, UMNO Pahang, Muafakat Nasional Pahang dan seluruh rakyat Negeri Pahang Darul Makmur di atas sokongan yang telah diberikan kepada saya sebagai Menteri Besar Pahang yang ke-15.
“Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada para pegawai dan kakitangan kerajaan negeri, yang diketuai oleh YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Salehuddi Ishak di atas komitmen yang telah diberikan, bagi merealisasikan segala inisiatif dan polisi yang telah dirancangkan.
“Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu pentadbiran negeri ini. Saya percaya, dengan penglibatan semua pihak, kita akan berupaya untuk membangunkan Negeri Pahang Darul Makmur, sehingga mampu untuk mencapai kegemilangan di mata dunia,” katanya. – PAHANGMEDIA