Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 15 MEI 2021: Hampir 98 peratus penduduk di kawasan sekitar pantai bermula di Cherating sehingga Pantai Sepat dilihat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, hasil pemantauan daripada udara yang dilakukan hari ini menunjukkan tahap pematuhan yang tinggi oleh penduduk sekitar kawasan berkenaan.
“Pemantauan udara yang dilakukan hari ini adalah bagi tujuan memantau pematuhan SOP COVID-19 khususnya di kawasan sepanjang pantai.
“Jadi hasil penelitian yang sangat jelas, kita dapati keseluruhannya kita berpuas hati dengan masyarakat yang tinggal berdekatan kawasan pantai yang dilihat hampir 98 peratus tidak ada sebarang aktiviti di situ cuma yang ada aktiviti perikanan sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) setelah membuat tinjauan udara selama lebih kurang satu jam hari ini bersama Penolong Penguatkuasa Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Superintendan Dr. Bakri Zainal Abidin.
Beliau melahirkan rasa puas hati dengan pematuhan yang dilihat dan menasihatkan orang ramai terutamanya nelayan supaya tidak berkumpul beramai-ramai semasa bot keluar atau masuk.
“Cuma kita nasihatkan supaya walaupun ini (aktiviti menangkap ikan) dibenarkan, tetapi kita minta supaya mereka masih lagi kekal dengan pematuhan SOP ini di mana elakkan daripada berkumpul beramai-ramai semasa bot nak berlepas atau bot sampai dengan hasil tangkapan kerana ini mungkin tanpa sedar menyebabkan berlakunya pelanggaran SOP,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang mematuhi SOP yang dikeluarkan bagi memastikan wabak COVID-19 ini dapat diputuskan segera. -PAHANGMEDIA