Oleh: Shazli Sufi Che Unik
KUANTAN, 15 MEI 2021: Seramai 47 pesakit COVID-19 berisiko rendah dan tidak memerlukan rawatan khusus mula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), Indera Mahkota di sini, sejak petang semalam.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman berkata, kebanyakan pesakit yang ditempatkan di PKRC Sukpa adalah dari Daerah Kuantan.
“Pembukaan PKRC Sukpa ini adalah untuk menampung dua PKRC yang sudah mencapai kapasiti maksimum. Pengoperasian PKRC Sukpa ini bagi menampung jumlah pesakit COVID 19 yang berisiko rendah dan tidak memerlukan rawatan khusus,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 250 katil telah disediakan dan hanya pesakit lelaki sahaja ditempatkan di PKRC berkenaan.
“Setakat ini kita tidak menerima sebarang aduan daripada mana-mana pihak termasuk pesakit yang ditempatkan di PKRC berkenaan. Ini kerana fasiliti termasuk makanan disediakan dengan baik oleh pihak kerajaan,” katanya.
Sebelum ini, dua PKRC yang beroperasi telah beroperasi iaitu di Institut Latihan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (i-KPKT) di Bukit Tinggi dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Kuantan. – PAHANGMEDIA