Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr Haji Bahari Dato’ Tok Muda Haji Che Awang Ngah

JKNP JANGKA KES MENINGKAT 100 SEHARI PADA AWAL JUN

Oleh : Fansurina Abdullah
 
KUANTAN, 11 MEI 2021 : Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) menjangkakan peningkatan kes jangkitan COVID-19 di negeri ini akan meningkat kepada purata 90-100 sehari pada awal Jun depan.
 
Pengarah JKNP, YH. Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Haji Che Awang Ngah berkata, kadar peningkatan itu menjadikan kadar jangkitan kira-kira 600-700 kes seminggu sekali gus menjadikan jumlah kes aktif mencecah kepada 1,700 orang melebihi kapasiti katil di wad hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di negeri ini.
 
“Terdapat peningkatan dari segi keterukan pesakit yang menerima rawatan di mana kategori pesakit 4 dan 5 telah meningkat dari 2 peratus kepada 3.8 peratus.
 
“Jumlah kemasukan pesakit ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Pahang juga telah bertambah hampir tiga kali ganda daripada biasa, jika keadaan ini berterusan jumlah pesakit yang memerlukan penjagaan di ICU akan melebihi keupayaan hospital-hospital di Negeri Pahang,” katanya.
 
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
 
Sehingga 9 Mei 2021, terdapat sebanyak 5,789 kes Covid-19 dilaporkan di Negeri Pahang dengan tren peningkatan yang konsisten sejak pertengahan Mac lalu terutama di daerah Kuantan, Bentong dan Raub dengan R-naught (Rt) pada 9 Mei adalah 1.26.
 
Sehubungan itu, JKNP menasihatkan masyarakat supaya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) terutama ketika membuat persiapan menyambut perayaan Aidilfitri.
 
Amalkan budaya 3W (wash, wear dan warn) serta mengelakkan 3S (sesak, sempit dan sembang dekat) bagi menghalang penularan wabak pandemik COVID-19 ini. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download