Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Mahathir Ali
KUANTAN, 10 MEI 2021: Sebanyak 11,800 kotak barangan keperluan asas bernilai RM578,200 diagihkan ke seluruh Negeri Pahang bagi membantu rakyat yang tidak berkemampuan meraikan Aidilfitri pada tahun ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setiap kawasan Dewan Negeri akan menerim sebanyak 200 kotak yang bernilai RM49 setiap satu.
“Di dalam kotak ini dilengkapkan dengan 10 barangan keperluan asas antaranya beras, beras pulut, nasi impit, tepung gandum dan minyak. Penerima BPP Aidilfitri kali ini akan ditentukan oleh pemimpin setempat dengan nasihat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Bantuan Prihatin Pahang Aidilfitri 2021 di perkarangan Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), di sini, hari ini.
Hadir sama, barisan EXCO Kerajaan Pahang, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak dan Datuk Bandar MBK, YH. Dato’ Hamdan Hussin.
Katanya lagi, BPP Aidilfitri ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri bagi membantu golongan yang memerlukan sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri dan bantuan akan diserahkan secara berperingkat di kawasan Dewan Negeri masing-masing.
Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berharap majlis penyerahan kotak-kotak tersebut dapat dilaksanakan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan wabak pandemik COVID-19 yang semakin membimbangkan di negeri ini. – PAHANGMEDIA